Anda di sini

Tiga warga emas antara 14 kaki judi dicekup sabung ayam

Advertisement
 Dua daripada ayam sabung hidup yang dirampas dalam serbuan di sebuah gelanggang sabung ayam di Niah petang kelmarin.
RAMPASAN: Dua daripada ayam sabung hidup yang dirampas dalam serbuan di sebuah gelanggang sabung ayam di Niah petang kelmarin.

MIRI: Seramai 14 kaki judi termasuk dua warga asing dan tiga warga emas diberkas hasil serbuan polis ke atas gelanggang sabung ayam di Niah petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, semua suspek yang ditangkap berusia antara 34 hingga 69 tahun.

Berikutan tangkapan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu katanya, bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri telah membuat serbuan ke atas sebuah gelanggang sabung ayam di kawasan lapang Rumah Robert Suai Niah kerana dipercayai ada kegiatan sabung ayam haram dianjurkan di situ.

“Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 3 petang itu, polis berjaya menahan 14 lelaki termasuk dua warga Indonesia dan tiga warga emas berusia 69, 69 dan 61 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sabung ayam yang dianjurkan secara haram.

“Semua suspek telah ditangkap mengikut Seksyen 3 (1) Langkah-Langkap Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sabung ayam yang dianjurkan secara haram,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam kelmarin.

Dalam serbuan sama kata Lim, polis turut merampas satu alat penimbang digitan, dua bangkai ayam sabung, empat ekor ayam sabung hidup dan sekeping papan catatan pertaruhan untuk dijadikan barang kes.

Hasil soal siasat awal yang dilakukan polis katanya mendapati dua lelaki warga Indonesia terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan mereka masuk ke negeri ini.

Berikutan itu, dua lelaki terbabit kemudian ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana disyaki masuk ke negeri ini secara haram.

Advertisement