Anda di sini

Sarawak antara destinasi pelaburan utama di Malaysia

Advertisement
 Cheng menyerahkan cenderamata kepada Awang Tengah sebagai tanda penghargaan mengadiri Bengkel Ekonomi dan dan Taklimat Dasar Kerja Sama Antara China dan Sarawak.
TERUS KUKUH: Cheng menyerahkan cenderamata kepada Awang Tengah sebagai tanda penghargaan mengadiri Bengkel Ekonomi dan dan Taklimat Dasar Kerja Sama Antara China dan Sarawak.

KUCHING: Sarawak kekal antara destinasi pelaburan pilihan utama di Malaysia dan berada di kedudukan ketiga teratas sejak lima tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana Sarawak menawarkan banyak faedah berbanding kepada para pelabur.

Beliau berkata selain pelbagai insentif cukai ditawarkan kerajaan persekutuan seperti Status Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Pelaburan Semula, Kerajaan Sarawak juga menawarkan pelbagai insentif bukan cukai.

Ia merangkumi bekalan kuasa berkualiti pada harga berdaya saing, paling rendah di wilayah ini dan menyediakan tapak projek pada kos munasabah dengan syarat bayaran fleksibel, tambahnya.

“Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing dengan mengutamakan industri yang menggunakan teknologi moden terkini dan dapat membantu Sarawak meningkatan rantaian nilai dalam ekonomi global selain mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi pemindahan teknologi, bukannya bergaji rendah dan tenaga kerja yang intensif.

“Pelaburan ini juga harus mewujudkan kumpulan sokongan dan industri-industri hiliran terlibat dalam komuniti perniagaan tempatan dan pelaburan yang dapat mempromosikan kelestarian, hijau serta teknologi mesra alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Bengkel Ekonomi dan Taklimat Dasar Kerjasama Antara China dan Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mewujudkan suasana pelaburan kondusif untuk perniagaan berkembang maju dan makmur.

“Kita mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil yang mesra perniagaan serta melindungi kepentingan pelabur-pelabur.

“Banyak perbadanan multinasional sudah beroperasi di Sarawak sejak dahulu lagi. Shell misalnya sudah bertapak di sini lebih daripada 10 tahun,” ujarnya.

Mengenai pelaburan China di Sarawak, Awang Tengah berkata pelaburan terbaharu dari China merangkumi loji silikon mangan bernilai RM1.05 bilion oleh Pertama Ferroalloy (Hong Kong), loji pengeluaran solar bersepadu oleh LONGi Technology (RM2.18 bilion) dan loji keluli gred tinggi oleh WenAn Steel (RM17 bilion).

China juga katanya, melabur dalam sektor pertanian menerusi Guangken Rubber Group Co.Ltd dari Guangdong yang menjalinkan usaha sama dengan Pertubuhan Peladang Sarawak (PPS) untuk mewujudkan kilang Standard Malaysia Rubber (SMR) bernilai AS$20 juta di Debak, Betong.

Dalam sektor tenaga di Sarawak, syarikat-Syarikat China telah terlibat aktif dalam pembinaan empangan-empangan hidroelektrik antaranya Empangan Hidroelektrik Bakun, Empangan Hidroelektrik Murum dan Empangan Hidroelektrik Baleh.

“Selain itu, China merupakan rakan niaga utama Sarawak dengan nilai dagangan berjumlah RM18.91 bilion pada tahun lalu.

Awang Tengah berkata jumlah itu menyumbang sebanyak 13.1 peratus kepada jumlah keseluruhan nilai dagangan Sarawak.

“Pada tahun 2018, nilai dagangan Sarawak dengan China meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada RM18.91 bilion.

“Ini menyumbang 13.1 peratus kepada jumlah keseluruhan nilai dagangan Sarawak (pada 2018),” katanya.

Awang Tengah berkata eksport utama Sarawak ke China ialah gas asli cecair (LNG), minyak sayuran, jentera elektrik dan perkakasan dan sebagainya.

Manakala import utama Sarawak dari China adalah  produk kimia kok, lignit, karbon, timah aluminium, logam asas dan banyak lagi.

Hadir sama Menteri Muda E-Dagang merangkap Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Keusahawanan Datuk Mohd Naroden Majais serta Konsulat Jeneral Republik China di Kuching Cheng Guangzhong.

  • oleh
  • Advertisement