Anda di sini

RM14,000 menanti pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan Antarabangsa Miri 2019

Advertisement
 Sylvester menyampaikan maklumat Pertandingan Fotografi Pelancongan Antarabangsa Miri Ke-2 kepada Lee (kanan) semalam, kelihatan sama ahli-ahli Pertubuhan Fotografi Miri yang lain.
TERIMALAH: Sylvester menyampaikan maklumat Pertandingan Fotografi Pelancongan Antarabangsa Miri Ke-2 kepada Lee (kanan) semalam, kelihatan sama ahli-ahli Pertubuhan Fotografi Miri yang lain.

MIRI: Wang tunai berjumlah RM14,000 menanti pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan Antarabangsa Miri Kedua pada 22 hingga 27 September akan datang.

Presiden Pertubuhan Fotografi Miri Sylvester Wong berkata pihaknya menyasarkan 40 peserta terdiri daripada jurugambar, penulis blog dan media dari Singapura, China, Brunei, Indonesia, Taiwan, Jepun, Thailand dan Malaysia akan menyertai pertandingan itu.

Katanya, pemenang tempat pertama hingga ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM8,000, RM4,000 dan RM2,000 manakala lima hadiah sagu hati berupa baucar hotel.

“Peserta perlu menulis dan mempromosikan Miri di dalam blog mereka, melalui surat khabar tempatan dan majalah.

“Kita juga akan menjemput individu yang mempunyai reputasi untuk menghakimi pertandingan fotografi,” katanya semasa berkunjung ke pejabat Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin semalam.

Kunjungan itu bagi memberi taklimat ringkas kepada Lee mengenai pertandingan dan mendapatkan sokongan.

Sylvester menambah, penganjuran pertandingan itu adalah susulan kejayaan pertandingan pada tahun lepas yang turut menyaksikan penyertaan penulis dan penulis blog dari Singapura, Indonesia, Brunei, Taiwan dan Semenanjung Malaysia.

Menariknya kali ini, turut diadakan Persidangan Fotografi Pelancongan Antarabangsa Miri selama dua hari pada 27 dan 28 September yang terbuka kepada jurugambar tempatan dan asing.

“Persidangan ini antara lain bertujuan menyediakan peluang kepada peserta untuk menerokai keunikan masyarakat berbilang kaum di sini.

“Selain itu, peserta boleh menerokai keindahan alam semula jadi dan tarikan yang terdapat di Miri seperti Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Gua Niah atau tanah tinggi Ba’Kelalan dan Bario,” katanya.

Beliau menambah, paling penting para peserta dapat menikmati makanan tempatan dan pada masa yang sama, peserta boleh merakamkan pemandangan menarik di sini dengan lensa kamera mereka.

Advertisement