Anda di sini

Pendidik berperanan penting mengekalkan kesenian Islam: Rubiah

Advertisement
 Rubiah merakam kenanga bersama johan Pertandingan Nasyid Kontemporari yang dimenangi kumpulan IPGKTAR 1 pada perasmian penutupan Festival Kesenian Islam Borneo 2019 di Kota Samarahan, semalam.
UNTUK ALBUM: Rubiah merakam kenanga bersama johan Pertandingan Nasyid Kontemporari yang dimenangi kumpulan IPGKTAR 1 pada perasmian penutupan Festival Kesenian Islam Borneo 2019 di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Warga pendidik memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesenian Islam yang semakin terhakis pada era Revolusi Industri  4.0 hari ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, konsep hiburan masa kini lebih bersifat keduniaan, melekakan dan jauh menyimpang daripada tradisi seni Islam.

Justeru katanya, warga pendidik harus mengimarahkan aktiviti di sekolah melalui pertandingan nasyid kontemperori, syarahan agama, bercerita kisah nabi, seni khat dan tilawah al-Quran.

“Para pendidik perlu berjuang mempertahankan kesenian Islam agar anak-anak didik memahami keindahan seni Islam dan menyimpan rasa bertanggungjawab mempertahankan legasi ini.

“Kita harus meneladani kesenian Islam yang diwarisi mereka yang terdahulu,” katanya pada perasmian penutupan Festival Kesenian Islam Borneo 2019 di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) di sini, semalam.

Rubiah menambah, penganjuran seumpama itu tepat pada masanya terutama ketika umat Islam diuji dengan cabaran-cabaran hebat di seluruh dunia.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IPGKTAR Dr Rahmah Mursihi berkata festival itu menjadi petunjuk mengenai inisiatif-inisiatif itu untuk memacu dan melestarikan pendidikan Islam.

“Keindahan seni Islam secara tidak langsung menghakis tanggapan negatif terhadap Islam yang dilabel ganas dan melampau oleh segelintir pihak,” katanya.

Terdahulu, seramai 380 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah dan sekolah rendah dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam pertandingan pada festival ini.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Nasyid Kontemporari, Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Syarahan Agama, Bercerita Kisah-Kisah Al-Quran dan Seni Khat.

Festival Kesenian Islam Borneo 2019 merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) dan Jawatankuasa Pentadbir Pusat Islam Tun Abdul Razak Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak.

Advertisement