Anda di sini

Peguam Sarawak mohon temui Ketua Menteri, bincang isu pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) sedia memberi pandangan jika terdapat cubaan selanjutnya untuk memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Presidennya, Ranbir Singh Sangha berkata bagi tujuan itu AAS akan memohon mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan perkara tersebut.

"Jika ada percubaan selanjutnya untuk memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, AAS akan memohon mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak untuk memberi pandangan sebelum Ketua Menteri Sarawak berbincang dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, pada Januari 2019, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak telah meminta pandangan AAS mengenai penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Tambahnya cadangan tersebut adalah untuk memindahkan Pejabat Pendaftaran berkenaan secara bergilir-gilir antara Kuching dan Kota Kinabali dalam tempoh 15 tahun.

"Kami menghargai hakikat yang kami diberi peluang memberi pandangan kepada Ketua Hakim Sabah dan Sarawak. 

"Kami ingin menegaskan AAS telah membantah (cadangan itu) dan masih menentang penempatan semula Pejabat Pendaftar (Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak) dari Kuching ke Kota Kinabalu," tegasnya.

Beliau juga berkata AAS menarik nafas lega kerana pemindahan Pejabat Pendaftaran itu tidak akan dibuat bermula 1 Mei ini seperti rancangan awal.

"Merujuk kepada surat dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri bertarikh 22 April 2019, dengan jelas menyatakan 'tidak ada rundingan' oleh Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sarawak. Oleh itu Perkara 121(4) Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi.

"Kami (AAS) berada lega kerana tindakan tidak membawa Ketua Menteri Sarawak berbincang mengenai perkara ini adalah tidak berperlembagaan diiktiraf, dengan itu Pejabat Pendaftar akan kekal di Kuching buat sementara waktu.

"Memindahkan Pejabat Pendaftar tanpa rundingan antara Perdana Menteri dengan Ketua Menteri Sarawak adalah satu permulaan yang tidak baik," ujarnya.

Selasa lepas, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Taha menerusi satu 'surat edaran' penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei 2019.

"Dengan hormatnya saya merujuk kepada Penempatan Semula Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan surat pejabat ini bertarikh pada 19 April 2019 dalam rujukan yang sama adalah berkaitan.

"Pejabat ingin memaklumkan bahawa penempatan semula Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching, Sarawak ke Kota Kinabalu Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei 2019," katanya.

Surat sama turut menyatakan salinan mengenai perkara berkenaan antara lain turut diedarkan kepada Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Malaya.

  • oleh
  • Advertisement