Anda di sini

Marah laluan ke kebun ditutup, pondok sekuriti ladang dibakar

Advertisement
 Pondok pengawal ladang yang dibakar penduduk.
BANTAH: Pondok pengawal ladang yang dibakar penduduk.

KUCHING: Sekumpulan penduduk dari beberapa kampung di Simunjan bertindak membakar pondok pengawal, motosikal dan peralatan di sebuah ladang susulan membantah tindakan pihak ladang menghalang penduduk kampung melalui ladang tersebut, semalam.

Menurut sumber, penduduk kampung tidak berpuas hati dengan tindakan pihak ladang memutuskan jalan di dalam kawasan ladang tersebut yang dikatakan laluan mereka untuk ke kebun dan meminta agar ia disambung semula.

Namun, usaha penduduk kampung menemui pihak ladang bagi membincangkan isu tersebut dipercayai gagal sehingga menyebabkan mereka merusuh dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan pihak ladang mengorek jalan masuk ke dalam ladang tersebut yang dipercayai laluan penduduk kampung untuk pergi ke kebun mereka sejak dua minggu lepas.

“Susulan itu, penduduk kampung bertegas untuk berjumpa pihak ladang bagi mendapatkan kata putus penembokan semula jalan.

“Bagaimanapun, suasana bertukar tegang apabila usaha mereka gagal berjumpa pihak pengurusan sehingga penduduk kampung membakar pondok pengawal, motosikal dan merosakkan beberapa peralatan ladang seperti palang penghadang jalan dan papan tanda amaran,” kata sumber.

Beberapa anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 147, 427 dan 435 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian mengenai tanah dan difahamkan mahkamah sebelum ini memutuskan tanah tersebut adalah milik pihak ladang.

“Maka, pihak ladang bertindak menutup jalan tersebut yang kemudian menimbulkan kemarahan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Justeru, beliau memohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Advertisement