Anda di sini

Kolam Renang Awam Miri perlu dinaik taraf: Alan Ling

Advertisement
 Ling (tengah) menyampaikan geran kerajaan persekutuan kepada Sim semasa melawat Kolam Renang Awam Miri.
SOKONG: Ling (tengah) menyampaikan geran kerajaan persekutuan kepada Sim semasa melawat Kolam Renang Awam Miri.

MIRI: Kolam Renang Awam Miri perlu dinaik taraf bagi membolehkan pencarian bakat baharu serta penganjuran kejohanan renang bertaraf tinggi di sini.

Setiausaha Pakatan Harapan Sarawak Senator Alan Ling berkata, menaik taraf kolam renang itu juga bagi kegunaan awam dan pusat latihan untuk atlet-atlet renang.

“Meskipun Miri pesat membangun, kita tidak boleh lupa bahawa kemudahan sukan juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Menurut Ling, kemudahan kolam renang itu tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan, justeru sewajarnya pihak berkaitan tampil dan melihat pemasalahan yang berlaku di kolam renang itu.

“Jika Miri mempunyai kolam renang yang mencapai piawaian antarabangsa, maka tidak mustahil kita mampu menarik atlet renang dari luar untuk bertanding di sini.

“Ia sekali gus akan membuka mata atlet luar akan kemampuan Sarawak khasnya Miri menganjurkan kejohanan renang seterusnya mempromosikan industri pelancongan,” jelasnya.

Terdahulu, Ling menyampaikan geran kerajaan kepada Persatuan Renang Amatur Miri (MASA) untuk membantu persatuan menggilap bakat baharu dalam kolam renang.

“Saya akan terus memberi sokongan dan melihat keperluan MASA jika mereka memerlukan permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan,” jelasnya.

Ling juga berharap MASA dapat melahirkan lebih ramai jaguh di kolam renang sekali gus mewakili negara ke kejohanan lebih besar.

Turut hadir Pengerusi MASA Sim Chui Bee dan Penyelia Kolam Renang Awam Miri Robert Chandy Mingat.

Advertisement