Anda di sini

Kerajaan PH punca harga petrol, LPG melambung

Advertisement
 Gerawat (tujuh kanan) bersama yang lain meninjau projek jalan kampung Lungan yang dinaik taraf di  bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Pa Lungan semalam.
TUNTUT JAWAPAN: Gerawat (tujuh kanan) bersama yang lain meninjau projek jalan kampung Lungan yang dinaik taraf di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Pa Lungan semalam.

MIRI: Kelewatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan pengangkutan bersubsidi menyebabkan harga petrol dan silinder gas petroleum cecair (LPG) di Bario dan Hulu Baram melonjak naik sejak Januari lalu.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, setakat semalam kontraktor yang diberikan kontrak pengangkutan bekalan LPG dan petrol belum menghantar bekalan ke Bario dan kawasan pedalaman di Baram.

“Saya baharu sampai di Miri dari Bario. Saya mengesahkan setakat hari ini harga LPG di Bario mencecah RM65 setong manakala petrol dan diesel RM3.80 seliter.

“Kegagalan kerajaan PH menangani perkara ini tepat pada masanya menyebabkan penduduk di Bario dan pedalaman Baram terpaksa membayar dengan kos yang berlipat ganda,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen kelmarin bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan segera berhubung laporan penduduk di Bario membayar harga tertalu tinggi bagi mendapatkan LPG.

Chong berkata, penduduk di kawasan pedalaman di Sarawak termasuk Bario tidak perlu membayar RM65 bagi setiap silinder LPG kerana kerajaan sudah memberi kontrak subsidi pengangkutan kepada syarikat berkaitan untuk mengangkut LPG, diesel, RON95, gula, beras, tepung dan minyak masak.

Gerawat yang merupakan penduduk Bario berkata, sebelum ini kontrak tersebut diberikan kepada syarikat tempatan kerana lebih arif mengenai kos pengangkutan, keadaan jalan raya, lokasi semua kampung dan pusat pengagihan.

“Sekarang penduduk di Bario tidak tahu siapa kontraktor yang diberikan kontrak pengangkutan pada tahun ini.

“Saya meminta Chong menamakan kontraktor yang bertanggungjawab menyebabkan kelewatan itu.

“Rakyat mahu tahu keputusan siasatan dan punca menyebabkan penghantaran lambat,” kata Gerawat.

  • oleh
  • Advertisement