Anda di sini

FAM wajar ada kuasa mutlak

Advertisement
HAMIDIN (kiri) memberikan baju cenderakenangan kepada Peter semasa pertemuan kedua-dua pemimpin bola sepak itu di Kota Kinabalu. Sebelumnya, Hamidin mengetuai rombongan FAM mengadakan kunjungan hormat kepada SAFA pada Selasa. 
HAMIDIN (kiri) memberikan baju cenderakenangan kepada Peter semasa pertemuan kedua-dua pemimpin bola sepak itu di Kota Kinabalu. Sebelumnya, Hamidin mengetuai rombongan FAM mengadakan kunjungan hormat kepada SAFA pada Selasa. 

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berpendapat, sebagai badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya berkuasa penuh terhadap pengurusan bola sepak di negara ini.

Katanya, sejak beberapa perubahan dilakukan dalam pengurusan bola sepak negara ini termasuklah selepas pembabitan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), banyak masalah yang sebelum ini tidak pernah berlaku, timbul.

"Kalau kita mahu majukan bola sepak pengurusan perlulah diperbaiki dan yang paling penting perlunya satu badan yang mempunyai kuasa khusus...kuasa mutlak yang ada kata pemutus.

"Sekarang ini kalau kita lihat liga bola sepak di negara kita, sejak MFL mengambil alih, begitu banyak masalah yang timbul termasuklah pengguguran pasukan dan ada juga yang menarik diri.

"Saya percaya sekiranya perkara ini mendapat bimbingan FAM serta dibuat secara teratur, ianya mungkin boleh dielakkan kerana pengguguran dan penarikan pasukan itu adalah perkara yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak negara," katanya pada sidang media di sini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata, sejak pembabitan MFL dalam FAM ini juga, telah ada 'bibit-bibit' perpecahan serta ketidakpuasan hati penaja-penaja utama sehingga ada yang mahu menarik diri.

"Kita kena ambil ini sebagai iktibar kerana jika ia berlarutan, sudah pasti masalah pembangunan bola sepak kita akan terjejas.

"Sudah tiba masanya FAM diberi kuasa sepenuhnya seperti sebelum ini, agar pelan pembangunan bola sepak negara lebih teratur dengan kerjasama semua ahli gabungannya di seluruh negeri.

"Apa yang saya nampak ketika ini adalah pertindihan kuasa dan kadang-kadang sekiranya pihak SAFA sendiri mahu menghantar surat, kami kurang jelas surat itu mahu ditujukan kepada siapa, sama ada MFL atau FAM," katanya.

Sementara itu, Peter turut mempersoalkan kelewatan MFL mengagihkan geran tahunan kepada ahli-ahli gabungan FAM sehingga mengakibatkan pembangunan bola sepak di negeri-negeri terbantut.

"Dahulunya di bawah seliaan FAM, ianya tidak menghadapi masalah, geran itu sepatutnya diberikan pada awal tahun tetapi sekarang kita sudah mahu memasuki bulan Mei.

"Ini sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak kita, sekiranya kita ingin melahirkan lebih ramai pemain yang mampu menyumbang kepada negara, kita perlu penambahbaikan dari segi pengurusan," katanya.

Terdahulu sebelum sidang media itu, Peter telah mengadakan pertemuan dengan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan beberapa isu termasuk hala tuju bola sepak Sabah dan negara.

"Saya juga telah mengemukakan cadangan agar Sabah dan Sarawak diberi geran yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung kerana kos penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Liga Malaysia lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung," katanya.

Peter juga mahu agar MFL merujuk kepada persatuan negeri sebelum meluluskan permohonan pas mana-mana pihak yang mahu membuat liputan bola sepak di negeri terlibat.

  • oleh
  • Advertisement