Anda di sini

Ekspo Perkayuan dan PKS Sarawak 2019 dijangka jana jualan tunai langsung RM7 juta

Advertisement
Awang Tengah (lima kanan) menerima buku 'Glossary of Classification Timber & Timber Products Of Sarawak' daripada Bong sambil disaksikan yang lain.- Gambar Muhammad Rais Sanusi
Awang Tengah (lima kanan) menerima buku 'Glossary of Classification Timber & Timber Products Of Sarawak' daripada Bong sambil disaksikan yang lain.- Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Ekspo Perkayuan dan PKS Sarawak 2019 dijangka menjana jualan tunai langsung kira-kira RM7 juta berbanding RM5.8 juta semasa penganjurannya pada tahun 2017.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana ekspo kali ini dijangka disertai lebih ramai pempamer dari dalam dan luar negeri dan menarik lebih 15,000 pengunjung.

"Saya dengan gembira memaklumkan Ekspo Perkayuan dan PKS Sarawak keempat akan dianjurkan dengan kerja sama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan pada 27-30 Jun ini bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

"Disebabkan sambutan amat menggalakkan dan kejayaan penganjuran ekspo edisi ketiga pada 2017, tahun ini kita menjangka penyertaan pempamer lebih banyak begitu juga pengunjung.

"Kita menjangka dapat menjana jualan tunai langsung RM6.5 hingga RM7 juta," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata tarikan utama ekspo kali ini ialah 'House of Acascia' dan Galeri buluh.

Menurutnya 'House of Acacia' mula diperkenalkan semasa ekspo 2013 dan diteruskan pada penganjuran ekspo 2015 serta 2017 dan ia merupakan usaha berterusan PUSAKA meningkatkan kesedaran penggunaan kayu Akasia dalam industri pengilangan terutama industri pembuatan perabot di Sarawak.

"Galeri buluh pula mula diperkenalkan semasa ekspo 2015, dan ia juga usaha berterusan PUSAKA meningkatkan kesedaran dan mempromosikan penggunaan buluh dalam industri pembuatan perabot , sebagai sumber bahan mentah alternatif.

"Tahun ini, ekspo akan mempamerkan projek rintis buluh PUSAKA terletak di Hutan Simpan Sabal. dan projek penyelidikan dan pembangunan buluh menerusi kerja sama dengan Subur Tiasa Sdn Bhd," katanya.

Awang Tengah berkata sempena ekspo kali ini Ekspo dan Persidangan Reka Bentuk Sarawak 2019 akan diadakan pada 27-28 Jun 2019 di lokasi sama.

Ekspo dan Persidangan Reka Bentuk Sarawak 2019 dianjur bersama PUSAKA, Universiti  Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Bandung Indonesia dengan sokongan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia Kuching.

"Ekspo kali ini melibatkan kawasan pameran seluas 12,000 kaki persegi dengan lebih 400 reruai, setakat ini kita telah mendaftar lebih 200 pempamer domestik dan antarabangsa.

"Terima kasih kepada penaja-penaja yang memberi sokongan kewangan untuk menjaya ekspo kali ini seperti Persatuan Kayu Sarawak (STA), Kumpulan Syarikat Sanyan, Kumpulan Syarikat KTS, Kumpulan Syarikat Samling, Kumpulan Syarikat Shin Yang, Kumpulan Syarikat WTK dan Kumpulan Syarikat Ta Ann," katanya. 

Awang Tengah yang juga Pengerusi PUSAKA melancarkan buku 'Glossary of Classification Timber & Timber Products Of Sarawak', selepas sidang media tersebut.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Menteri Muda e-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, Bong Sian Tin.

  • oleh
  • Advertisement