Anda di sini

Dicekup ketika lerai kereta

Advertisement
 Pihak polis berjaya menangkap suspek yang cuba untuk melarikan diri dari tempat kejadian.
TUMPAS: Pihak polis berjaya menangkap suspek yang cuba untuk melarikan diri dari tempat kejadian.

BINTULU: Kehadiran polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu mengejutkan seorang lelaki tempatan yang sedang leka membuka komponen kereta disyaki dicuri di kawasan lapang sepanjang Jalan Pesisir Miri-Bintulu petang kelmarin.

Suspek yang tersentak cuba melarikan diri, namun anggota polis yang bertindak pantas berjaya memberkas suspek.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, suspek ditahan pada jam 6.30 petang dalam Operasi Lejang yang dilancarkan bagi mengesan dan menangkap suspek curi kenderaan.

“Sebelum itu, pemerhatian telah dibuat polis yang mendapati suspek sedang leka membuka komponen-komponen sebuah kereta yang berada di kawasan tersebut.

“Selepas beberapa ketika, pasukan polis yang membuat serbuan memperkenalkan diri sebagai polis menyebabkan suspek terkejut sambil cuba bertindak untuk melarikan diri, namun suspek berjaya ditangkap,” ujarnya di sini semalam.

Zulkipli berkata, pihak polis yang membuat semakan lanjut di tempat kejadian mendapati kereta tersebut telah dilaporkan hilang pada 18 April lalu di tepi jalan kawasan Tanjung Kidurong.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menemui pelbagai peralatan seperti spanar, pemutar skru, pisau, gergaji besi dan barang-barang lain.

“Susulan itu barang terbabit telah dirampas dan dibawa ke JSJ IPD Bintulu untuk tindakan lanjut dan ujian air kencing turut mendapati suspek, 35, positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Ujarnya, suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Pusat Bintulu untuk tindakan lanjut dan sekiranya sabit kesalahan membabitkan curi kenderaan hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun.

  • oleh
  • Advertisement