Anda di sini

Bomba dua negara giat tangani kebakaran di sempadan

Advertisement
 Pasukan bomba negara Brunei mengisi air untuk kaedah ‘water bombing’ bagi memadamkan api yang marak membakar hutan berhampiran sempadan antarabangsa.
KAWAL: Pasukan bomba negara Brunei mengisi air untuk kaedah ‘water bombing’ bagi memadamkan api yang marak membakar hutan berhampiran sempadan antarabangsa.

MIRI: Pasukan bomba kedua-dua negara Brunei dan Malaysia saling bekerjasama memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di sempadan kedua-dua negara di Kuala Baram di sini sejak pagi semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Law Poh Kiong dalam kenyataanya di sini berkata, pasukan bomba kedua-dua negara masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan masing-masing bagi mengelak api merebak lebih luas.

Menurut beliau, kebakaran hutan dan tanah gambut di sempadan antarabangsa antara kedua negara Brunei dengan Sarawak itu sudah mulai memasuki kawasan ladang berhampiran Kuala Baram dekat sini.

“Kita mulai mengesan perkara ini pada pagi Isnin (semalam) selepas penduduk di kawasan Senadin mengadu bau asap. Kita mulai mencari lokasi kebakaran sekitar Miri dan Kuala Baram tetapi tidak menjumpai punca asap kerana di kawasan ini api sudah padam sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Sehinggalah pasukan peronda tiba di Jambatan Asean dan melihat kepulan asap tebal dari sebelah Sungai Tujuh.

“Pemadaman sedang dilakukan oleh pihak bomba Negara Brunei menggunakan kaedah ‘water bombing’ dan ‘direct attack’ di sebelah Brunei dan kaedah ‘direct attack’ yang sama juga digunakan oleh pasukan Bomba Malaysia dari ladang hingga ke sempadan,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, di sebelah Malaysia, pihak ladang berkenaan juga telah membuat halangan api ‘fire break’ untuk mengelakkan kebakaran hutan dari merebak ke kawasan ladang.

Law berkata kebakaran ini juga antara punca yang menyebabkan keadaan agak berjerebu dari sempadan hingga ke kawasan Pujut, terutama jalan menuju ke Jambatan Asean yang turut menjejaskan jarak penglihatan.

Hujan turun seketika sahaja di beberapa kawasan di sini, semalam, tidak mampu untuk menghilangkan jerebu yang mulai menyelubungi bandar raya ini pada sebelah pagi semalam, ekoran kebakaran hutan berlaku di sempadan.

Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen ILP Miri mencatatkan bacaan 66 pada jam 8 pagi, meningkat kepada 70 pada jam 1 petang semalam.

Manakala bacaan IPU di Miri pula turut mencatatkan peningkatan dari 64 pada jam 8 pagi kepada 70 pada jam 1 petang. Bacaan IPU di kedua-dua stesen masih di paras sederhana.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan bomba Miri turut membuat pemadaman kebakaran hutan seluas satu ekar berhampiran kawasan Grand Old Lady di Bukit Kanada, pagi semalam.

Pada masa yang sama, pasukan bomba turut mendapat kerjasma daripada Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Naim, yang membantu memadamkan kebakaran belukar di kawasan berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri di sini.

  • oleh
  • Advertisement