Anda di sini

APMM tahan dua kapal nelayan asing di Bintulu

Advertisement
Taktik kibar Jalur Gemilang tidak berjaya 

BINTULU: Taktik nelayan asing dari Vietnam dan Thailand menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengibar Jalur Gemilang pada kapal gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini.

Tangkapan pertama itu dijalankan sekitar 7 malam pada Isnin manakala tangkapan kedua dibuat pada 12 tengah hari Selasa, masing-masing pada jarak 123 batu nautika dan 79 batu nautika dari Tanjung Kidurong. 

Pengarah Maritim Zon Bintulu Kapten Maritim Shahref Steve Macqueen Abdullah berkata, selain menahan 22 nelayan asing, pihaknya turut merampas dua buah kapal serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

Shahref pada sidang media hari ini

"Kru nelayan yang berumur antara 23 hingga 55 tahun itu ditangkap semasa APMM melaksanakan rondan sekitar perairan Bintulu," ujarnya pada sidang media di pejabat APMM di Wisma Peng Seng, Batu 5 Jalan Bintulu-Miri hari ini. 

Jelasnya, kedua-dua kapal nelayan asing itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengguna nombor pendaftaran palsu dan menyamar sebagai kapal nelayan tempatan termasuk melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di sekitar perairan Bintulu. 

"Kapal dan kesemua kru yang ditahan diiringi masuk ke Bintulu bagi tujuan siasatan lanjut dan dua buah kapal beserta peralatan termasuk hasil tangkapan berupa ikan telah disita Maritim Malaysia," katanya. 

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta semua nelayan itu juga akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Shahref pada salah satu kapal dirampas 
  • oleh
  • Advertisement