Anda di sini

Pustaka Negeri Sarawak komited budayakan amalan membaca

Advertisement
Rosey menekan skrin Ipad sebagai simbolik pelancaran Program Reading Seeds Wilayah Utara Sarawak dan Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit hari ini, kelihatan sama Arpah (dua kiri).
Rosey menekan skrin iPad sebagai simbolik pelancaran Program Reading Seeds Wilayah Utara Sarawak dan Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit hari ini. Turut kelihatan Arpah (dua kiri).

MIRI: Pustaka Negeri Sarawak akan terus komited untuk memartabatkan amalan budaya membaca dalam kalangan rakyat Sarawak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) Pustaka Negeri Sarawak Arpah Adenan berkata, sebagai sebuah institusi yang menjadi sumber maklumat bagi seluruh negeri Sarawak, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi memastikan kesedaran serta penghayatan budaya membaca dalam kalangan rakyat meningkat setiap hari.

“Di Pustaka Negeri Sarawak Miri sahaja, pada tahun lepas jumlah peminjaman buku telah meningkat kepada 114,346 daripada 82,100 pada tahun 2017 manakala dari Januari sehingga Mac tahun ini, sebanyak 9,740 transaksi pinjaman bahan telah direkod.

“Selain itu, tahun 2018, sebanyak 291 aktiviti termasuk 92 aktiviti kanak-kanak diadakan dan disertai oleh 41,863 orang peserta. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah bagi menggalakkan tabiat membaca, perkongsian ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat," katanya.

Arpah berkata demikian dalam ucapan pelancaran Program Reading Seeds Wilayah Utara Sarawak dan Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Mengenai program itu, Arpah berkata program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit adalah salah satu inisiatif yang memerlukan kerjasama dengan para pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, sekolah-sekolah, badan bukan kerajaan serta masyarakat umum.

Katanya, ia mula diperkenal pada tahun 2014 hasil inisiatif Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia bertujuan membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat (10 minit) di samping tanda sokongan daripada perpustakaan awam negeri bersama-sama kerajaan meningkatkan tabiat atau budaya membaca di kalangan masyarakat. 

“Bersempena dengan program ini, Tower of Books Challenge turut diadakan dengan berobjektifkan untuk membaca semua buku dari senarai yang telah disediakan oleh Pustaka dan dari Pangkalan Data Dalam Talian Pustaka,” kata Arpah. 

Pada tahun lepas, jumlah penyertaan bagi Tower of Books Challenge adalah seramai 177 orang dan jumlah buku yang dibaca adalah sejumlah 2,868 buah buku.  

Bacaan buku paling tinggi merupakan kategori tadika iaitu sejumlah 561 buah buku oleh Jacky Hung Yi Xuan dan kedua tertinggi iaitu sejumlah 262 buah buku oleh Mohd Alif Adenan Rocky dari Kolej Tun Datu Haji Bujang. 

Sementara itu, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus dalam ucapan perasmian berkata, program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat. 

“Saya yakin program yang diadakan secara besar-besaran seumpama ini akan dapat menyemarakkan semula keseronokan membaca, dan saya memberikan sokongan penuh kepada Pustaka Negeri Sarawak serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini.”

“Tahniah dan syabas kepada pihak Pustaka dan semua yang turut serta menjayakan program Reading Seeds serta Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit pada pagi ini. Semoga amalan membaca ini akan menjadi amalan harian dan bukan hanya untuk hari ini,” katanya.

Rosey menambah, masyarakat bertuah kerana terdapat banyak bahan bacaan dan aktiviti menarik disediakan oleh pihak Pustaka bagi tujuan ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement