Anda di sini

Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak belum pindah 1 Mei

Advertisement
 

KUCHING: Penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei 2019.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Taha menerusi satu 'surat edaran' hari ini memaklumkan perkara berkenaan.

"Dengan hormatnya saya merujuk kepada Penempatan Semula Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan surat pejabat ini bertarikh pada 19 April 2019 dalam rujukan yang sama adalah berkaitan.

"Pejabat ingin memaklumkan bahawa penempatan semula Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching, Sarawak ke Kota Kinabalu Sabah tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei 2019," katanya.

Surat sama turut menyatakan salinan mengenai perkara berkenaan antara lain turut diedarkan kepada Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Malaya.

Sebelum ini, Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dilaporkan akan berpindah dari Kuching ke Kota Kinabalu.

'Surat edaran' daripada Pejabat Ketua Pendaftar bertarikh 19 April 2019 yang diedarkan menerusi WhatsApp menyatakan penempatan semula pejabat itu akan berkuat kuasa pada 1 Mei 2019.

'Surat' tersebut turut menyatakan perkara itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

'Surat' tersebut ditandatangani Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Menurut laman sesawang kehakiman.gov.my, Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bertanggungjawab ke atas pentadbiran mahkamah di seluruh Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Ia diketuai Pendaftar dan dibantu seorang Penolong Kanan Pendaftar.

Advertisement