Anda di sini

MTDC rancang pusat usahawan berteraskan IR4.0 di Sabah

Advertisement
 Norhalim (kanan) beramah mesra bersama para peserta pada perasmian Jelajah MTDC Road2Growth 2019 semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Norhalim (kanan) beramah mesra bersama para peserta pada perasmian Jelajah MTDC Road2Growth 2019 semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) merancang mewujudkan sebuah lagi pusat usahawan berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) - ‘Centre of 9 Pillars’ di Sabah yang menjadikan keseluruhan enam buah pusat seumpamanya diwujudkan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata MTDC akan bekerjasama dengan usahawan tempatan terutamanya golongan belia yang berkecimpung dalam mana-mana sembilan bidang IR4.0.

Beliau berkata idea menubuhkan Centre of 9 Pillars di negeri ini bertujuan menghubungkan kesemua enam pusat usahawan dalam usaha membantu meningkatkan industri di setiap negeri itu agar mencapai tahap IR4.0

“MTDC mahu bekerjasama dengan mana-mana kumpulan usahawan untuk membangunkan suatu tempat orang boleh datang dan belajar terutamanya mengenai IR4.0 dalam mana-mana sembilan bidang tersebut, selain menjalin kerjasama bagi meningkatkan teknologi mereka (usahawan).

“Melalui enam Centre of 9 Pillars kita hendak menghubungkan kepakaran yang ada dalam bidang yang boleh menghasilkan produk contohnya menghasilkan robot, perkhidmatan dan siber sekuriti. Untuk sebuah industri itu menjadi kompetetif dalam dunia, kita perlukan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah ‘MTDC Road2Growth 2019’, di sini, semalam.

Norhalim berkata negara mempunyai kepakaran untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan IR4.0 tanpa perlu mendapatkannya daripada negara luar yang memerlukan kos yang tinggi.

“Kalau kita nak membangunkan industri kita, kita perlu membangunkan semua ekosistem maknanya kita perlu ada pembekal produk daripada negeri kita sendiri. Kita kena bekerjasama dalam industri itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Norhalim berkata MTDC Centre of 9 Pillars terdapat fi Universiti Putra Malaysia (UPM-MTDC), manakala lima lagi bakal diwujudkan iaitu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM-MTDC) Johor Bahru, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Sabah merupakan destinasi keempat Program Jelajah MTDC Road2Growth 2019 selepas Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuantan sebelum ke Kuching yang dijadualkan pada 25 hingga 26 April ini. — Bernama