Anda di sini

Lewat sedia subsidi pengangkutan punca harga petrol, LPG melonjak - Gerawat

Advertisement
Gerawat (tujuh kanan) bersama yang lain ketika meninjau projek jalan kampung yang dinaik taraf di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Pa Lungan hari ini.
Gerawat (tujuh kanan) bersama yang lain ketika meninjau projek jalan kampung yang dinaik taraf di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Pa Lungan hari ini.

MIRI: Kelewatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan pengangkutan bersubsidi menyebabkan harga petrol dan silinder gas petroleum cecair (LPG) di Bario dan Hulu Baram melonjak naik sejak Januari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berkata setakat Isnin, pihak yang diberikan kontrak pengangkutan bekalan LPG dan petrol belum menghantar bekalan ke Bario dan kawasan pedalaman di Baram.

“Saya baharu tiba di Miri dari Bario. Saya mengesahkan setakat hari ini harga LPG di Bario mencecah RM65 setong manakala petrol dan diesel RM3.80 seliter.

“Kegagalan kerajaan PH menangani perkara ini tepat pada masanya menyebabkan penduduk di Bario dan pedalaman Baram terpaksa membayar dengan kos yang berlipat ganda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen pada Ahad yang memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan segera berhubung laporan bahawa penduduk di Bario membayar harga tertalu tinggi bagi mendapatkan LPG.

Menurut Chong yang dipetik sebagai berkata, penduduk di kawasan pedalaman di Sarawak, termasuk Bario, tidak perlu membayar RM65 bagi setiap silinder LPG kerana kerajaan sudah memberi kontrak subsidi pengangkutan kepada syarikat berkaitan untuk mengangkut LPG, diesel, RON95, gula, beras, tepung dan minyak masak.

Gerawat yang merupakan penduduk Bario berkata, sebelum ini kontrak tersebut diberikan kepada syarikat tempatan kerana mereka arif mengenai kos pengangkutan, keadaan jalan raya, lokasi semua kampung dan pusat pengagihan.

“Sekarang penduduk di Bario tidak tahu siapa kontraktor yang diberikan kontrak pengangkutan pada tahun ini. Saya meminta Chong menamakan kontraktor yang bertanggungjawab menyebabkan kelewatan itu.

“Rakyat mahu tahu keputusan siasatan dan punca menyebabkan penghantaran lambat,” kata Gerawat.
 

  • oleh
  • Advertisement