Anda di sini

Kerajaan Sarawak lulus pembinaan lapangan terbang di Kapit

Advertisement
Abang Johari pada sidang media hari ini bersama Masing (kanan) dan Uggah (dua kiri).
Abang Johari pada sidang media hari ini bersama (dari kanan) Masing, Uggah dan Abu Bakar

KAPIT: Kapit tidak lagi terpencil dari bandar-bandar lain di negeri ini selepas kerajaan negeri meluluskan pembinaan lapangan terbang di daerah Bukit Mabong, di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata projek pembinaan lapangan terbang tersebut dijadualkan bermula pada akhir tahun ini.

"Lapangan terbang tersebut akan membuka kawasan ini (Kapit) menerusi pengangkutan udara.

"Ini akan memberi impak yang bukan sahaja dari aspek pembangunan pertanian tetapi juga dalam sektor pelancongan di Hulu Rajang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata projek pembinaan lapangan terbang tersebut akan menelan kos lebih RM100 juta.

"Dalam masa 10 tahun akan datang, Kapit akan berada di tengah-tengah perkembangan kerana saya juga menjangkakan sudah ada jaringan jalan raya yang menghubungkan Kapit dengan Belaga.

"Ini bermakna Kapit tidak lagi terasing dari bandar-bandar lain kerana sudah dihubungi oleh jaringan jalan raya dari Kapit ke Sibu dan Kapit ke Baleh serta Belaga hingga ke Bintulu," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Bakar Marzuki.

  • oleh
  • Advertisement