Anda di sini

China rakan niaga utama Sarawak - Awang Tengah

Advertisement
Awang Tengah (dua kanan) bersama Cheng (kanan) ketika tiba untuk merasmikan Bengkel Ekonomi dan Taklimat Dasar Kerja Sama Antara China dan Sarawak di sini hari ini. - Foto Muhammad Rais Sanusi.
Awang Tengah (dua kanan) bersama Cheng (kanan) ketika tiba untuk merasmikan Bengkel Ekonomi dan Taklimat Dasar Kerja Sama Antara China dan Sarawak di sini hari ini. - Foto Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: China merupakan rakan niaga utama Sarawak dengan nilai dagangan berjumlah RM18.91 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jumlah itu menyumbang sebanyak 13.1 peratus kepada jumlah keseluruhan nilai dagangan Sarawak.

"Pada tahun 2018, nilai dagangan Sarawak dengan China meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada RM18.91 bilion.

"Ini menyumbang 13.1 peratus kepada jumlah keseluruhan nilai dagangan Sarawak (pada 2018)," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Ekonomi dan Taklimat Dasar Kerja Sama Antara China dan Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawan berkata eksport utama Sarawak ke China adalah gas asli cecair (LNG), minyak-minyak sayuran, jentera elektrik dan perkakasan dan sebagainya.

Manakala import utama Sarawak dari China adalah produk kimia kok, lignit, karbon, timah aluminium, logam asas dan banyak lagi.

Dalam perkembangan sama Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing.

"Keutamaan diberikan kepada industri yang menggunakan teknologi moden terkini dan tahu membantu Sarawak meningkatan rantaian nilai dalam ekonomi global selain mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi  pemindahan teknologi, bukannya bergaji rendah dan tenaga kerja yang intensif.

"Pelaburan ini juga harus mewujudkan kumpulan sokongan dan industri-industri hiliran terlibat dalam komuniti perniagaan tempatan dan pelaburan yang boleh mempromosikan kelestarian, hijau serta teknologi mesra alam sekitar," ujarnya.

Beliau memberitahu pelaburan terbaharu dari China merangkumi loji silikon mangan bernilai RM1.05 bilion oleh Pertana Ferroalloy (Hong Kong), loji pengeluaran solar bersepadu oleh LONGi Technology (RM2.18 bilion) dan loji keluli gred tinggi oleh WenAn Steel (RM17 bilion).

China juga katanya melabur dalam sektor pertanian menerusi Guangken Rubber Group Co.Ltd dari Guangdong yang menjalinkan usaha sama dengan Pertubuhan Peladang Sarawak (PPS) untuk mewujudkan kilang Standard Malaysia Rubber (SMR) bernilai USD20 juta di Debak, Betong.

"Banyak lagi bentuk pelaburan dan usaha sama akan berlaku di Sarawak kerana dalam beberapa pertemuan dengan banyak syarikat, rata-rata menyatakan hasrat untuk melabur di sini," katanya.

Hadir sama, Menteri Muda E-Dagang merangkap Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil & Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais dan Konsulat Jeneral Republik China di Kuching, Cheng Guangzhong.

  • oleh
  • Advertisement