Anda di sini

Pasar ayam hidup dibina sebelum musim perayaan

Advertisement
 Mohamaddin bersama Mohd Ayub melawat tapak pasar ayam hidup di Lahad Datu.
UZUR: Mohamaddin bersama Mohd Ayub melawat tapak pasar ayam hidup di Lahad Datu.

LAHAD DATU: Pasar ayam hidup Lahad Datu akan dibina semula di tapak yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat menjelang musim perayaan akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pasar tersebut yang dibina pada era pentadbirannya sebagai wakil rakyat pada 1986 sudah begitu uzur dan perlukan perhatian segera.

“Masa kempen pilihan raya saya berjanji kepada mereka (peniaga dan rakyat di sini) untuk membina pasar ayam yang baharu.

“Jadi hari ini saya membuat lawatan untuk melihat tapak dan keadaan di sini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam dan Ketua Bahagian Silam Parti Warisan Sabah berkata demikian semasa lawatan beliau ke pasar ayam bersama Pegawai Daerah Dr Mohd Ayub Yaakob, di sini pada Sabtu.

Mohamaddin sebelumnya diberi taklimat mengenai isu pasar ayam dari Mohd Ayub dan pemimpin lain.

Beliau berharap kebersihan di sekitar pasar itu diberi perhatian untuk manfaat bersama.

Untuk rekod, struktur premis pasar ayam hidup yang dibina atas air laut berhampiran pasar ikan dan pasar rakyat runtuh pada 3 Julai 2016.

Advertisement