Anda di sini

Membimbing Orang Lain, Meningkatkan Pembangunan Diri

Advertisement
 

Seringkali, apabila kita berfikir tentang pembangunan diri atau meningkatkan keupayaan kepimpinan, fokusnya adalah pada ‘saya’.

Walau bagaimanapun, daripada pengalaman peribadi, saya mendapati bahawa ketika kita berjalan bersama orang lain dalam kembara pembangunan diri mereka, ketika kita benar-benar inginkan yang terbaik bagi mereka, itulah masanya kita mula memahami dan mengembangkan potensi kita sendiri.

Berjalan dengan orang lain dalam kembara mereka membuka peluang bagi kita untuk mempelajari pengetahuan baharu, kemahiran baharu, pengalaman baharu, misalnya. Ia menjadikan kita lebih sedar tentang kekuatan dan batasan kita, memaklumkan kepada kita bidang-bidang mana yang kita patut perbaiki dan laburkan sumber.

Dalam kata lain, setiap orang yang kita iringi mencerminkan diri kita. Kita menilai apa yang penting dan apa yang paling bernilai. Melalui perbualan dengan orang lain, ia menggalakkan kita untuk berfikir mengapa kita melakukan perkara-perkara yang kita lakukan dan bagaimana ia mempengaruhi orang lain.

Ia memberi peluang bagi kita untuk memahami sejarah peribadi kita — cerita dan kenangan hidup kita sendiri, pilihan dan keputusan lalu, serta tindak balas kita. Ia seperti kita tiba-tiba memahami diri kita dengan lebih baik.

Terdapat peribahasa agama Buddha yang berbunyi seperti berikut:

“JIKA ANDA MENYALAKAN LAMPU UNTUK SESEORANG, IA JUGA AKAN MENCERAHKAN LALUAN ANDA.”

Memahami dan meningkatkan diri

Apabila kita membimbing orang lain dan menawarkan pandangan kita, kita sebenarnya mengubah pengalaman hidup kita menjadi sesuatu yang bernilai untuk orang lain. Kita terpaksa memikirkan pembelajaran, pengalaman peribadi, memeriksa semula nilai, prinsip dan perspektif terhadap kehidupan. Pada akhirnya, kita mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang mengapa kita adalah kita sekarang. Ia suatu proses yang boleh memberi stres, tetapi juga membebaskan.

Menjadi mentor atau suri teladan seseorang mendorong kita untuk menjadi lebih baik dalam kehidupan kita. Mengetahui bahawa seseorang sedang menatap kita untuk bimbingan, dan tindakan kita dapat membimbing mereka ke arah masa hadapan yang baik, kita akan menjadi lebih bertanggungjawab untuk pertumbuhan diri kita.

Ia juga membantu kita dalam membina kerjaya kita sendiri. Kita lebih cenderung untuk mengikuti perkembangan semasa di tempat kerja atau di dalam bidang peribadi. Ia juga memaksa kita untuk mengembangkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah kita berkaitan senario-senario yang dihadapi. Penglibatan ini mungkin akan mengilhami idea-idea baharu kerana kita terpaksa melihat perkara-perkara tersebut dari pelbagai perspektif.

Berkaitan: Mencapai Impian Perlukan Tindakan Yang Berani

Apabila kita membimbing orang lain, terutama mereka yang lebih muda, kita mempunyai kecenderungan untuk memberi nasihat. Hal ini mungkin menyebabkan mereka merasa diri dihakimi atau diarahkan untuk melakukan sesuatu dengan cara tertentu.

Cara yang saya gunakan adalah memberi pilihan dan cadangan. Pendekatan ini bertujuan untuk membantu mereka mencapai keputusan sendiri dan tidak memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan. Bimbing dengan cara yang membantu mereka mengenali dan menerima kekuatan dan cabaran mereka, dan berusaha ke arah mencapai matlamat mereka.

Akhir kata

Untuk membimbing orang lain, kita tidak perlu mengetahui segala-galanya. Bimbing dengan minda terbuka dan hati yang ikhlas.  Akhirnya, kita akan membimbing orang itu untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri. Bantulah mereka menghapuskan segala kekusutan yang mengaburi pandangan mereka.

Dengan berbuat demikian, kita akan mengalami pertumbuhan peribadi apabila kita mengembangkan kesedaran diri dan refleksi untuk memberi nilai kepada orang yang kita bimbing itu.

Berjalan dengan orang lain dalam perjalanan mereka sememangnya satu pendekatan Membimbing Ke Arah Peningkatan yang berunsur menang-sama menang.

Seperti yang dikatakan Les Brown:

“BANTULAH ORANG LAIN MENCAPAI IMPIAN MEREKA, DAN ANDA AKAN MENCAPAI MATLAMAT DIRI ANDA.”

Sumber
Sumber
 
  • oleh
  • Advertisement