Anda di sini

Dron pantau pembakaran

Advertisement
 Uggah (tiga kiri) menyaksikan pengairan kawasan tanah gambut menggunakan sumber air dari telaga tiub Tudan semasa mengadakan lawatan ke Menara Tinjau di Tudan, Miri semalam.
TINJAU: Uggah (tiga kiri) menyaksikan pengairan kawasan tanah gambut menggunakan sumber air dari telaga tiub Tudan semasa mengadakan lawatan ke Menara Tinjau di Tudan, Miri semalam.

MIRI: Kerajaan Sarawak mempertimbang mengguna pakai kaedah pemantauan dari udara teknologi dron bagi menangani masalah dan isu pembakaran terbuka di sini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain itu kerajaan mempertimbang membina lebih banyak telaga tiub di kawasan tidak mempunyai kemudahan itu.

Ketika ini Miri mempunyai 10 telaga tiub dan satu daripadanya mengalami kerosakan tidak dapat berfungsi.

"Antara strategi baharu dipertimbangkan ialah menggunakan lebih banyak dron untuk memantau kawasan terdedah pembakaran terbuka.

“Beberapa kawasan pembakaran terbuka tidak dapat diakses dan penggunaan dron menjadi lebih mudah.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat di Kuching membincangkan penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini," katanya selepas menghadiri taklimat keadaan terkini pembakaran terbuka di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak merangka dan membentangkan penyelesaian jangka panjang mengawal masalah pembakaran terbuka terutama di sini memandangkan musim panas dan kering dijangka berpanjangan sehingga gelombang kedua kemarau, September nanti.

Sehubungan itu, Uggah berkata peruntukan berjumlah RM651,000 diluluskan oleh Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan langkah segera menangani masalah pembakaran terbuka.

Beliau juga mahukan aktiviti penguatkuasaan pembakaran terbuka dipertingkatkan dengan rondaan di kawasan yang mungkin menjadi titik panas.

Uggah memuji dan berterima kasih atas kerja keras Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri memadamkan kebakaran belukar dan hutan di sini dibantu anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Miri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sarawak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Law Poh Kiong dalam taklimatnya memberitahu sehingga kes pembakaran terbuka di Kuala Baram ditutup jam 2 petang Jumaat lalu.

Katanya, pasukan bomba menganggarkan tidak kurang 1,353 ekar kawasan belukar dan hutan tanah gambut serta ladang di Kuala Baram sudah terbakar.  

Pemangku Kontroler Kualiti Alam Sekitar Justine Jok dalam taklimatnya berkata, sepanjang tempoh kemarau sejak Mac hingga 20 April, empat kompaun dikeluarkan dan empat kertas siasatan dibuka bagi empat syarikat disyaki melakukan pembakaran itu.

Manakala JAS mengeluarkan sebanyak sembilan amaran kepada individu yang ditemui melakukan pembakaran terbuka.  

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Khiruddin Drahma.

  • oleh
  • Advertisement