Anda di sini

Bina kompleks perikanan untuk kemudahan nelayan Semporna

Advertisement
JAUJAN (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Semporna.
JAUJAN (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Semporna.

SEMPORNA: Sebuah kompleks perikanan bakal dibina di daerah ini untuk memberi kemudahan kepada nelayan melaksanakan aktiviti harian.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, kerajaan negeri kini berbincang dengan agensi berkaitan dan ingin meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pusat untuk melihat keperluan itu.

"Tapak dan kawasan kerajaan negeri sudah sediakan, cuma sekarang tinggal ingin melihat konsep apa yang akan dirangka.

"Kalau perkara ini dapat dilaksanakan, ia bukan sahaja boleh menjadi kawasan pendaratan para nelayan dengan hasil tangkapan, tetapi juga menjadi tapak tarikan pelancong.

"Kompleks ini nanti akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti restoran, sistem perniagaan kepada nelayan dan banyak lagi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Semporna, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu ia selari dengan pembangunan kompleks berkenaan, Pasar Sejahtera juga akan diwujudkan di sini.

Katanya, pada awalnya pentadbiran dahulu pernah menyatakan untuk menaik taraf pasar ikan sedia ada bagaimanapun peruntukan itu sudah ditarik balik.

"Perbincangan sudah dilakukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengembalikan peruntukan untuk pembinaan kemudahan itu.

"Kewujudan Pasar Sejahtera itu sudah pasti akan menyenangkan lagi para nelayan memasarkan hasil tangkapan laut," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, peranan nelayan di sini penting bagi memastikan sumber bekalan ikan di negeri ini khususnya Semporna sentiasa mencukupi.
Katanya, penangkapan ikan juga perlu mempunyai sistem pengurusan yang baik agar hidupan marin itu tidak pupus di masa hadapan.

"Kerajaan juga kini menggalakkan para nelayan untuk mengamalkan konsep penangkapan dan penternakan ikan dalam sangkar.

"Dengan konsep ini, nelayan tidak lagi perlu bimbang ke laut sekiranya cuaca tidak baik. Kos subsidi diesel juga dapat dikurangkan dan duit itu boleh diguna kerajaan untuk membantu bina sangkar ikan kepada nelayan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement