Anda di sini

SMK Kunak Jaya terbaik STPM

Advertisement
MALEK Mohd Shafdar (tengah) bersama guru-guru dan pelajar Tingkatan Enam 2018 SMK Kunak Jaya sempena Majlis Graduasi meraikan kecemerlangan pelajar.
MALEK Mohd Shafdar (tengah) bersama guru-guru dan pelajar Tingkatan Enam 2018 SMK Kunak Jaya sempena Majlis Graduasi meraikan kecemerlangan pelajar.

KUNAK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya melakar sejarah kecemerlangan apabila sekali lagi berjaya mengekalkan keputusan lulus 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

   Pencapaian membanggakan itu turut meletakkan SMK Kunak Jaya di tangga kedua peringkat negeri Sabah dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK/GPS) 3.19, selain berjaya mengekalkan prestasi empat tahun berturut-turut ‘rangking’ terbaik STPM peringkat daerah Kunak.

   Majlis graduasi sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar STPM 2018, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada pelajar yang bakal menduduki STPM tahun ini telah diadakan di Hotel Promenade Tawau, baru-baru ini.

   Lima pelajar terbaik STPM 2018 SMK Kunak Jaya ialah Andi Arnaisah Andi Arnis, Fatimah Hanim Ambo Resi, Noor Afiza Natasha Tahar, Khairunnisa Madispa dan Sahlan Ahmad yang berjaya memperoleh 4A dan juga merupakan antara pelajar yang tersenarai dalam pencapaian terbaik di Sabah.

   Pengetua SMK Kunak Jaya, Malek Mohd Shafdar Gulam Hassan dalam ucapannya ketika merasmikan majlis itu berkata para pelajar cemerlang merupakan produk hasilan guru-guru yang cemerlang.

   Katanya, guru-guru perlu terus berusaha dan bekerja lebih keras untuk melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama, di samping menekankan tanggungjawab ibu bapa agar murid terus beriltizam dalam menimba ilmu.

   Selain itu, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Rusnaini Junaede turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian para pelajar STPM 2018 dan menjadikan pencapaian cemerlang itu sebagai penyuntik semangat dalam memperkasa strategi pengajaran, program dan melaksanakan amalan pemusatan Tingkatan Enam mod tiga untuk mempertingkatkan prestasi pelajar.

   Sementara itu, Sahlan Ahmad yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pengetua sempena majlis itu meluahkan rasa syukur dengan keputusan yang diperolehi walaupun dia mengakui menghadapi pelbagai gangguan akibat proses atau kerja-kerja pembinaan di kawasan sekolah, namun ia bukan penghalang baginya untuk menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh.

   ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ menggambarkan kesungguhan pihak sekolah dan komitem tinggi guru-guru atas prestasi membanggakan yang diperolehi sehingga kini dan ia kan terus dipertingkatkan untuk memastikan SMK Kunak Jaya terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan. 

Advertisement