Anda di sini

Serangan bom Sri Lanka: Jemaah St Thomas nyala lilin tanda solidariti

Advertisement

KUCHING: Umat Kristian berkumpul bagi upacara menyalakan lilin sebagai tanda solidariti bersama mangsa-mangsa serangan bom Sri Lanka di pekarangan Katedral St Thomas di sini, hari ini.

Menurut Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt Rev. Danald Jute, umat Kristian memanjangkan doa agar insiden tragis sedemikian berhenti dan tidak akan berulang lagi.

"Sesungguhnya ia perbuatan terkutuk tetapi kami tetap bersama dengan rakan kita di Sri Lanka tidak kira apa anutan agama mereka, kita bersama di dalam soladariti.

"Kami amat bersedih kerana kita sukakan keamanan dan Tuhan Yesus Kristus juga seorang putera yang cintakan kedamaian tetapi gereja dan hotel dibom di Sri Lanka.

"Tidak kira apa anutan kita sama ada Hindu, Islam atau Buddha, kita mesti mempelajari cara untuk hidup dalam kedamaian," katanya ketika ditemui di pekarangan katederal itu, hari ini.

Katanya juga, dunia akan menjadi lebih baik dan sejahtera untuk didiami sekiranya semua saling mengasihi walaupun terdapat perbezaan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, agensi berita antarabangsa memberitahu terdapat lapan siri pengeboman di Sri Lanka melibatkan ratusan cedera dan terbunuh hari ini.

Sasaran serangan melibatkan golongan Katolik yang bersembahyang misa Paska dan tetamu hotel terkemuka melibatkan warga asing di negara itu.

Pengeboman bermula sekitar pukul 8.45 pagi bermula di Gereja St Sebastian di Negombo iaitu sekitar 20 batu di utara Colombo

Disusuli dengan pengeboman di Gereja St Anthony Shrine di ibu negara itu dan Gereja Zion di wilayah timur Batticaloa.

Tiga buah hotel yang juga dibom adalah Shangri-La, Cinnamon Grand dan Kingsbury.

Selepas 20 minit siri pengeboman keenam tamat berlaku satu lagi di Dehiwala Zoo di Dehiwala-Mount Lavinia, pinggir kota Colombo.

Terakhir, pengeboman kelapan di sebuah rumah di Mahawila Gardens.

Orang ramai menyalakan lilin dan berdoa untuk mangsa serangan bom Sri Lanka
 
 
 
 
  • oleh
  • Advertisement