Anda di sini

PSB semakin kukuh - Wong

Advertisement
(Dari lima kiri) Chou, Rayong, Ranum, Lo, Wong dan Jerip bergambar bersama ahli-ahli PSB yang hadir semasa majlis pelancaran papan tanda baharu parti di ibu pejabat PSB, di sini, hari ini.
(Dari lima kiri) Chou, Rayong, Ranum, Lo, Wong dan Jerip bergambar bersama ahli-ahli PSB yang hadir semasa majlis pelancaran papan tanda baharu parti di ibu pejabat PSB, di sini, hari ini.

KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh berkata parti itu kini semakin kukuh sejak ditubuhkan pada 2014 yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

"Parti kita (PSB), saya mesti mengatakan ia semakin kukuh. Ketika ini PSB mempunyai 26 cawangan dengan 38,000 ahli di seluruh Sarawak.

"Kami menjangka akan menubuhkan lebih banyak lagi cabangan dan hampir 10,000 ahli baharu bakal menyertai kami. Sambutan terhadap parti sangat memberangsangkan terutama masyarakat Dayak di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran papan tanda PSB yang baru di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata kini PSB bergerak aktif di seluruh Sarawak bermula dengan jerayawara di Skrang, Engkilili, Selangau, Ngemah, Krian dan Kapit.

Beliau berkata parti itu kini merancang melakukan jerayawara ke Marudi, Baram, Samalaju dan Mambong.

"Jadi banyak cabang (parti) akan ditubuhkan sebagai contoh di Ngemah, Krian, dan sebagainya. Cabang-cabang ini perlu menubuhkan jawatankuasa protem sebelum parti boleh mengemukakan permohonan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk diluluskan.

"Dalam tempoh akan datang mungkin kita akan mempunyai sekitar 40 cabang, kita belum tahu, kerana orang terus menyertai PSB," ujarnya.

Mengenai status PSB, Wong berkata ia akan terus memberi sokongan kepada pucuk kepimpinan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terutama usaha untuk mentransformasikan Sarawak menjadi negeri maju.

"Saya mesti mengatakan PSB setia kepada pucuk kepimpinan negeri, Datuk Patinggi Abang Johari. Kami akan memberi sokongan penuh kepada usahanya mentranformasikan Sarawak menjadi negeri maju khususnya dalam program transformasi luar bandar.

"Kami adalah pro kerajaan negeri atau apa sahaja yang anda (mesra GPS)," ujarnya.

Wong juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan memberitahu PSB masih belum menentukan sama ada parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau sebaliknya .

"Oh...kami belum tahu lagi. Kami perlu melihat bagaimana reaksi di peringkat akar umbi," katanya.

Pada 22 Februari tahun ini ROS meluluskan permohonan parti itu untuk menukar nama daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) kepada PBS serta mengguna logo baharu.

"Kami telah mengemukakan permohonan kepada ROS pada 10 Disember 2018 untuk menjenamakan semula parti. Ia adalah cadangan semasa  persidangan delegasi kedua berlangsung 7 Julai 2018.

"Cadangan itu telah diluluskan dalam Persidangan Delegasi Khas dan hari ini kita melancarkan secara rasmi logo ini di ibu pejabat parti...PSB kini lebih meluas tidak lagi sempit seperti UPP sebelum ini, lebih ke luar bandar tetapi kekal berkhidmat kepada semua komuniti tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan sebagainya," ujarnya.

Hadir sama Timbalan Presiden PSB yang juga ADUN Mambong Dr Jerip Susil, Ketua Pemuda PSB (ADUN Engkilili) Dr Johnical Rayong Nyipa, Naib Presiden Kanan (ADUN Opar) Ranum Mina, Setiausaha Agung, George Lo dan Penasihat parti Dr Chou Chu Ming.

  • oleh
  • Advertisement