Anda di sini

PM: Malaysia perlu beralih ke arah pertumbuhan berpacukan produktiviti

Advertisement
 Tun Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2018 di sebuah hotel kelmarin. — Gambar Bernama
KATA-KATA SEMANGAT: Tun Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2018 di sebuah hotel kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pertumbuhan berpacukan input kepada berpacukan produktiviti untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menjelaskan, pertumbuhan negara telah banyak didorong berpacukan input menerusi suntikan modal dan buruh ke dalam ekonomi negara.

“Jenis pertumbuhan yang meminimumkan kos semakin sukar dikekalkan. Setiap unit input yang disuntik kepada ekonomi menghasilkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang rendah berbanding sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Industri 2018 di sini, malam kelmarin.

Perdana Menteri berkata untuk beralih kepada pertumbuhan berpacukan produktiviti, syarikat-syarikat perlu melabur dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan inovasi dan mengenal pasti produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

Selain itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh dan membekalkan mereka dengan pengetahuan dan teknologi terkini.

“Usaha bersepadu ini amat penting demi menambah baik prestasi produktiviti buruh untuk menjadi negara yang maju dan inklusif. Kita perlu berhijrah daripada amalan biasa konvensional, sebaliknya meletakkan negara kita pada trajektori pertumbuhan yang pantas,” kata Dr Mahathir.

Selain meningkatkan pencapaian produktiviti, Perdana Menteri turut berkongsi tiga lagi bidang keutamaan yang mana kerajaan turut menggiatkan usaha.

Ia merangkumi peningkatan kapasiti eksport untuk meluaskan pengantarabangsaan, menambah baik kecekapan pasaran untuk mempromosi persaingan yang adil dan memudahkan urusan perniagaan bagi mewujudkan iklim perniagaan yang lebih positif.

Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada malam ini (kelmarin) bertujuan mengiktiraf syarikat di Malaysia yang mencapai tahap kecemerlangan tertentu dalam produk dan perkhidmatan masing-masing.

Hadir sama menteri berkenaan Datuk Darell Leiking dan timbalannya Dr Ong Kian Ming.

Anugerah tersebut diberikan kepada lapan syarikat termasuk Ideal Healthcare Sdn Bhd, Indkom Engineering Sdn Bhd, Excelvite Sdn Bhd, Cita Information Systems Sdn Bhd, Amalgamated Plant Engineering Sdn Bhd, KPJ Ipoh Specialist Hospital dan STMicroelectronics Sdn Bhd.

Pada majlis tersebut, KPJ Ipoh Specialist Hospital merangkul Anugerah Perdana Menteri. — Bernama

Advertisement