Anda di sini

Pindaan Perlembagaan perlu dokong MA63

Advertisement
Lee menyerahkan bendera GPS kepada Abang Johari sebagai simbolik pelancaran GPS Zon 13B di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini hari ini. Turut kelihatan Dr Sim, Fatimah (kanan), Tengah (tiga kanan) dan Uggah.
Lee menyerahkan bendera GPS kepada Abang Johari sebagai simbolik pelancaran GPS Zon 13B di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini hari ini. Turut kelihatan Dr Sim (empat kiri), Fatimah (kanan), Awang Tengah (tiga kanan) dan Uggah (empat kanan).


MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan legasi Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem untuk memperjuangkan hak Sarawak yang telah lama terhakis agar ia dapat dikembalikan semula mengikut Perjanjian Malaysia (MA63).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, GPS menolak pindaan Rang Undang-undang ((RUU) sebelum ini kerana ia tidak memperakui kedudukan atau status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam MA63

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pindaan seharusnya dibuat dengan teliti dan dan memenuhi kehendak yang terkandung dalam MA63 agar hak Sarawak dapat dikembalikan.

“Kalau kita nak buat pindaan, mesti mengikut perimeter Perlembagaan dan MA63 dan MA63 mesti ada dalam pindaan. Tak boleh ubah tanpa asas ini. Bukan saya hendak emosi, tetapi saya berteraskan fakta. Kalau salah langkah kita akan bahaya.

“Kalau partner (rakan kongsi), kerjalah macam partner. Macam orang kahwin juga, kedua-duanya harus bertanggungjawab. Kita perlu menyusun langkah berhati-hati agar tidak membuat kesilapan. Kita tidak mahu generasi akan datang menyalahkan kita,” katanya katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Zon 13B Miri di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini hari ini.

Abang Johari menambah, GPS akan terus menjadi benteng pertahanan dalam melindungi hak dan hasil bumi Sarawak dan wadah perjuangan terbaik kepada Sarawak kerana bukan sahaja menekankan pembangunan di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar meliputi kawasan pedalaman.

“Kita tubuhkan GPS iaitu parti anak Sarawak sendiri yang mana kita dapat menguruskan dan mentadbir negeri kita mengikut acuan kita sendiri tanpa perlu terikat dengan parti dari Semenanjung.”

“Perjuangan ini bukan untuk kepentingan peribadi saya namun untuk seluruh rakyat Sarawak. Esok lusa jika saya tiada, orang lain akan meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Tambahnya lagi, legasi perjuangan Allahyarham Adenan akan diteruskan oleh beliau demi masa depan dan kemajuan negeri ini dan GPS akan sentiasa mengotakan janji janjinya kepada rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli-ahli GPS tidak mengamalkan budaya politik yang memecah belah perpaduan serta keharmonian rakyat.

Katanya, budaya politik berpecah belah di Semenanjung amat jelas dilihat terutamanya melibatkan Bumiputera iaitu dengan terpecahnya satu parti politik kepada lima, UMNO, PKR, PAS, AMANAH dan BERSATU.

Ujar Abang Johari, berbeza di Sarawak rakyatnya hidup amat damai dan tidak mempunyai perasaan bersangka buruk sesama sendiri.

Sebagai contoh katanya, kerajaan mengiktiraf Jumaat Agung yang disambut masyarakat agama Kristian sebagai cuti umum manakala perayaan Easter pun diraikan bersama.

“Kita percaya Sarawak dapat bergerak ke hadapan menggunakan acuan sendiri kerana kita di GPS tahun arah dan hala tuju.

“Saya berharap dengan pelancaran GPS Zon 13B ini akan mendorong ahli-ahli parti untuk berjuang bersungguh-sungguh dan berkhidmat demi kemajuan Sarawak terutama Miri,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pelancaran GPS Zon 13B Datuk Lee Kim Shin, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas,  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Pengerusi Majlis, Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Lambir, Ripin Lamat dan ADUN Pujut Datuk Sebastian Ting.

  • oleh
  • Advertisement