Anda di sini

Pewaris Seagram akui terbabit dalam kes kultus seks

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 8 April lalu menunjukkan Bronfman (tengah) tiba untuk pendengaran pendakwaan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York. — Gambar Reuters
MENGAKU SALAH: Gambar fail bertarikh 8 April lalu menunjukkan Bronfman (tengah) tiba untuk pendengaran pendakwaan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York. — Gambar Reuters

NEW YORK: Clare Bronfman, pewaris syarikat minuman keras Seagram, mengaku bersalah kelmarin bagi peranannya dalam sebuah kumpulan rahsia untuk hamba seks wanita.

Rayuan bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu konspirasi untuk menyembunyikan dan menyimpan pendatang haram bagi tujuan keuntungan dan penggunaan pengenalan palsu membolehkan Bronfman mengelakkan perbicaraan dalam kes yang dijangka dibuka pada 7 Mei.

Keith Raniere, 58, pengasas kumpulan bantuan diri Nxivm yang telah didakwa dengan penyeludupan seks dan konspirasi buruh paksa, kini bersendirian sebagai defendan dalam kes tersebut.

Raniere yang telah ditangkap di Mexico pada tahun lepas dituduh membentuk pertubuhan rahsia ‘DOS’, sejenis skim piramid dengan lebih 12 ‘hamba’ dan ‘tuan’ bersama dengannya sebagai lelaki tunggal di puncak skim.

Bronfman kini berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun namun garis panduan kerajaan dalam menjatuhkan hukuman akan melihat dia ditahan hanya selama 27 bulan.

Perbicaraan hukumannya dijangka akan dibuat pada 25 Julai.

Dermawan dan bekas ahli sukan ekuestrian berusia 40 tahun itu merupakan anak perempuan kepada Edgar Bronfman, mendiang pengerusi dari Kanada untuk syarikat gergasi minuman keras Seagram yang mana kekayaannya dianggarkan bernilai AS$2.6 bilion.

Bronfman dituduh menggunakan kekayaannya untuk membiayai Nxivm hingga lebih AS$100 juta.

Dia merupakan anggota lembaga eksekutif kumpulan tersebut yang menjadi terkenal dengan upacara inisiasi termasuk penjenamaan anggotanya dengan nama singkatan pengasasnya.

Wang dikatakan telah membiayai saman mahkamah terhadap musuh yang dinyatakan, identiti palsu bagi mengakses data dan bagi membantu Raniere menggunakan kad kredit milik bekas wanita simpanannya yang telah meninggal dunia.

Selain Raniere, lima lagi tertuduh dalam kes itu telah mengaku bersalah.

Allison Mack, aktres dalam siri televisyen ‘Smallville’, mengaku bersalah terlibat dan berkonspirasi merekrut wanita untuk kumpulan pengawasan itu yang menurut pendakwa raya AS dipaksa untuk melakukan seks dengan ketuanya.

Rangkaian televisyen HBO menyatakan pada Khamis lepas ia akan menghasilkan siri dokumentari mengenai kes tersebut. — AFP

Advertisement