Anda di sini

Muamer pulih daripada kecederaan hamstring

Advertisement
 Muamer (kanan) kembali memperkuatkan jentera serangan Sarawak selepas berehat panjang.
BERITA BAIK: Muamer (kanan) kembali memperkuatkan jentera serangan Sarawak selepas berehat panjang.

KUCHING: Penyerang dari Bosnia, Muamer Salibasic kembali memperkuatkan jentera serangan Sarawak menjelang pertembungan menentang UiTM FC pada aksi Liga Premier 2019 di Stadium Negeri, Petra Jaya petang ini.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak beraksi sejak awal Mac lepas kerana kembali ke negara asalnya untuk menjalani rawatan kecederaan harmstring.

“Muamer telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan harmstring dan dapat diturunkan pada perlawanan menentang UiTM.

“Namun saya mungkin akan menggunakan khidmatnya tidak lama memandangkan beliau baru sembuh dan saya tidak mahu mengambil risiko,” menurut jurulatih interim, Mohamad Denny Da’ail semalam.

Kehadiran semula Muamer amat melegakan Denny yang ketika ini agak pening menyusun skuad untuk berdepan UiTM FC berikutan masalah kecederaan dialami beberapa pemain utama.

Katanya, Sarawak akan kehilangan pemain sayap, Nur Shamie Iszuan Amin untuk tempoh lama akibat terseliuh di pergelangan kaki semasa perlawanan menentang Terengganu FC II minggu lepas.

Selain itu, peluang penyerang dari Sabah, Bobby Gonzales untuk beraksi juga masih samar-samar kerana masih bergelut dengan kecederaan kaki.

“Saya masih menilai tahap kecergasan Bobby dan berharap beliau dapat bermain esok (hari ini). Namun yang pasti kita akan kehilangan Shamie kerana kecederaannya agak serius,” tambah Denny.

Mengulas pertemuan itu, Denny mahu pemain mengekalkan momentum seperti diperagakan ketika menundukkan TFC II tempoh hari.

Katanya, kemenangan ke atas UiTM bukan sahaja penting untuk memperbaiki kedudukan dalam liga malah membuka peluang Sarawak merebut slot ke saingan Piala Malaysia.

“Semua pemain telah berikrar akan cuba menghadiahkan kemenangan kerana mahu merebut slot untuk ke saingan Piala Malaysia. Mereka tidak mahu terlepas beraksi dalam kejohanan paling berprestij itu,” tambah Denny lagi.

Advertisement