Anda di sini

Maludam ditransformasi

Advertisement
 Abang Johari ditemani Julaihi bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan majlis pecah tanah projek rakyat di Maludam, semalam.
RASMI: Abang Johari ditemani Julaihi bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan majlis pecah tanah projek rakyat di Maludam, semalam.

MALUDAM: Kerajaan Sarawak bakal mentransformasikan Daerah Kecil Maludam menjadi sebuah kawasan baharu seperti Petra Jaya yang mempunyai perkampungan moden dan tersusun melalui pendekatan cara baharu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat-Skim Pembesaran Kampung (SPK) Maludam Fasa 1 dan Masjid Baharu Kampung Maludam di pekarangan Pasar Baharu Maludam di sini, semalam.

Jelas beliau, menerusi pendekatan cara baharu dalam membangunkan projek pembesaran kampung itu dapat mengatasi masalah banjir, infrastruktur kampung yang lebih tersusun seperti jalan raya dan sistem perparitan sekali gus dapat menyediakan suasana kediaman yang selesa kepada rakyat di luar bandar.

Malah, katanya, Maludam yang merupakan kawasan dijaringkan dengan sistem perhubungan jalan pesisir dijangka dilimpahi pembangunan pesat jika Jambatan Batang Lupar siap dibina pada masa akan datang.  

“Kerana penekanan yang kita berikan adalah dengan melihat keperluan masyarakat luar bandar dan di Maludam, saya akan meneruskan usaha untuk membangunkannya mengikut cara baharu untuk kampung di sini.

“Oleh itu, kita bangunkan kawasan ini menjadi Maludam baharu seperti Petra Jaya di Kuching dalam memastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelaskan, melalui cara baharu dalam melaksanakan projek pembesaran kampung itu, kerajaan Sarawak menanggung kos menembok tanah, pembinaan jalan raya dan sistem perparitan konkrit.

Malah tambahnya, pemilik tanah lot di bawah projek pembesaran kampung itu juga boleh mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan yang turut disediakan kerajaan Sarawak untuk rakyat luar bandar.

“Jadi tidak ada lagi masalah hakisan, jalan raya lebih tersusun, kampung yang mempunyai kemudahan yang baik, kalau adik kakak tidak mempunyai dana, kita beri dana pinjaman,” katanya sambil menambah kadar premium tanah di bawah dasar baharu kerajaan Sarawak kini dikurangkan kepada RM2,500 sahaja.

Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak akan membangunkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Pada masa sama, beliau turut meluluskan projek pembinaan baharu Pejabat Daerah Kecil Maludam bagi menggantikan pejabat sedia ada yang sudah uzur.

Malah, katanya lagi, agenda pembangunan rakyat luar bandar yang diilhamkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem akan beliau teruskan demi memastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan yang seimbang.

“Seperti yang dikatakan Allahyarham Adenan, kalau hendak mencari orang susah pergilah ke luar bandar dan sebab itulah saya pergi ke luar bandar untuk meneruskan usaha beliau di bawah kerajaan GPS,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, ADUN Beting Maro Razali Gapor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Mohd Abu Bakar Marzuki, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Zaidi Mahdi dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement