Anda di sini

Lyon akhiri kemarau kemenangan

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara Lyon dan Angers di Stadium Groupama di Lyon, Perancis. — Gambar Reuters
PERGELUTAN DEPAN GAWANG: Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara Lyon dan Angers di Stadium Groupama di Lyon, Perancis. — Gambar Reuters

PARIS: Memphis Depay membantu Lyon menewaskan Angers 2-1 dalam Ligue 1 pada Jumaat untuk menamatkan siri tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut dan meneruskan usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim akan datang.

Jaringan di separuh masa pertama oleh pemain antarabangsa Belanda itu dan Martin Terrier menyaksikan Lyon mengukuhkan genggaman mereka ke atas tempat ketiga dengan 59 mata, enam mata di hadapan Saint-Etienne di tempat keempat.

Tetapi tidak sebelum mereka mengalami kejutan lewat apabila Lucas Tousart tertolak bola ke dalam gawang sendiri hanya beberapa minit sahaja selepas dia dimasukkan ekoran usaha yang tidak kemas oleh penjaga gol Lyon, Anthony Lopes, untuk mengeluarkan bola.

Ini merupakan perlawanan pertama Lyon sejak jurulatih Bruno Genesio mengumumkan pengundurannya pada hujung musim ini.

Ia dibuat ekoran kekalahan dalam Ligue 1 pada minggu lepas kepada kelab bermasalah Nantes setelah kelab yang pernah menjadi juara Perancis beberapa kali itu turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Piala Perancis dalam tempoh lebih sebulan.

Depay meletakkan Lyon di hadapan pada minit ke-14, Houssem Aouar memberikan hantaran jauh.

Setelah melepasi pemain pertahanan Angers, Mateo Pavlovic, rembatan pemain itu mengelirukan penjaga gol Ludovic Butelle.

Penyerang berusia 25 tahun itu hampir menambah kepada jaringan itu beberapa minit kemudian tetapi rembatannya terkena tiang dekat Butelle.

Sejurus sebelum waktu rehat, Terrier mengelirukan Butelle untuk menggandakan kelebihan Lyon selepas satu lagi serangan balas dengan Aouar sekali lagi memberi hantaran penentuan.

Terdahulu Rennes, yang menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Piala Perancis pada hujung minggu depan, tewas 3-2 di Dijon.

PSG dapat memenangi kejuaraan Ligue 1 pada malam ini (Ahad) apabila melayan kunjungan Monaco, dan boleh dinobatkan sebagai juara sebelum perlawanan itu jika Lille di tempat kedua gagal menang di Toulouse. — AFP

Advertisement