Anda di sini

Lelaki Florida ugut bunuh anggota Demokrat ditahan

Advertisement
 Gambar fail 15 Mac lalu menunjukkan Omar menghadiri rali iklim belia di sayap barat Capitol AS di Washington DC. — Gambar AFP
DISASARI: Gambar fail 15 Mac lalu menunjukkan Omar menghadiri rali iklim belia di sayap barat Capitol AS di Washington DC. — Gambar AFP

MIAMI: Polis menangkap seorang lelaki dari Florida kelmarin kerana disyaki mengugut untuk membunuh tiga penggubal undang-undang Demokrat dan menyuarakan kebenciannya terhadap Ahli Kongres Muslim Ilhan Omar, kata pendakwa raya.

John Kless, 49, dari daerah Broward, dituduh meninggalkan ancaman maut dalam peti suara yang penuh dengan kata-kata kesat di pejabat-pejabat Wakil California Eric Swalwell, Ahli Kongres Detroit Rashida Tlaib dan Senator New Jersey Cory Booker di Washington.  

Dia didakwa menyebut dalam teks pesanannya kepada Booker, yang mahu menjadi presiden, bahawa pegawai kerajaan akan berada dalam kubur di mana mereka sepatutnya berada.

Kless dikatakan telah menghina bangsa Omar, bekas pelarian Somali-Amerika, yang merujuk kepada kontroversi baru-baru ini di mana Omar dituduh secara palsu, menurut pembela Omar, memperlekehkan serangan 11 September 2001.

Ahli Kongres pertama kali itu mendapati diri dalam kontroversi sejak beliau tiba di Washington bagi kenyataan yang dilihat oleh pengkritik sebagai anti-Semitik.

Kless, yang dilaporkan mempertahankan Donald Trump dalam pesanan-pesanannya dan memberi amaran kepada penggubal undang-undang berkenaan untuk berhenti mengkritik presiden, telah didakwa atas tuduhan membuat komunikasi ancaman.

Beberapa penganalisis menyebut tentang retorik hangat presiden Amerika Syarikat itu sebagai pemangkin bagi suasana toksik yang menggalakkan kelakuan sedemikian, kemungkinan yang ditolak Rumah Putih.

Trump baru-baru ini ‘tweet’ sebuah video Omar memaparkan rakaman Pusat Dagangan Dunia yang terbakar disulami kenyataannya yang ditonjolkan di luar konteks untuk menggambarkan sikap sambil lewanya terhadap serangan 9/11.

Bahasa presiden itu juga dikritik ekoran pembunuhan anti-Semitik beramai-ramai di Pittsburgh pada tahun lepas dan sewaktu serangan mel sepanjang minggu yang menyaksikan seorang lagi lelaki Florida menyasari tokoh politik liberal berprofil tinggi, pengkritik Trump dan saluran berita CNN.

Pendakwa raya berkata, Kless menggunakan cemuhan homofobia dalam pesanannya kepada Swalwell yang menyokong hak perkahwinan sejantina dan kawalan senjata api selain mengintai jawatan presiden.

“Hari anda hendak merampas senjata api kami adalah hari anda akan mati,” Kless didakwa memberi amaran kepada penggubal undang-undang itu. — AFP

Advertisement