Anda di sini

Lebih banyak dron diguna pantau pembakaran terbuka 

Advertisement
Law memberikan taklimat mengenai isu kebakaran terbuka di Miri, kepada Uggah (depan, tiga kiri). Turut kelihatan ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin (depan, dua kiri), ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting (depan, empat kiri) serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khiruddin Drahmah.
Law memberikan taklimat mengenai isu kebakaran terbuka di Miri, kepada Uggah (depan, tiga kiri). Turut kelihatan ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin (depan, dua kiri), ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting (depan, empat kiri) serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khiruddin Drahmah.

MIRI: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk mengguna pakai kaedah pemantauan dari udara menggunakan teknologi dron bagi menangani masalah dan isu pembakaran terbuka di bahagian Miri. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, selain itu kerajaan akan turut mempertimbangkan untuk membina lebih banyak telaga tiub di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian. 

Ketika ini Miri mempunyai sepuluh buah telaga tiub dengan satu daripada mengalami kerosakan dan tidak dapat berfungsi. 

"Antara strategi baru yang sedang dipertimbangkan ialah menggunakan lebih banyak dron untuk memantau kawasan yang terdedah kepada pembakaran terbuka. 

"Beberapa kawasan pembakaran terbuka tidak dapat diakses dan ia (penggunaan dron) akan menjadikannya lebih mudah. Kita  (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak) akan mengadakan mesyuarat di Kuching untuk membincangkan penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini," katanya. 

Uggah memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai keadaan terkini pembakaran terbuka di bandar raya ini oleh beberapa agensi kerajaan yanb terbabit, Menara Tinjau Tudan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan merangka dan membentangkan penyelesaian jangka panjang untuk mengawal masalah pembakaran terbuka di negeri ini, terutamanya di bahagian Miri memandangkan musim panas dan kering ini dijangka berpanjangan sehingga gelombang kedua kemarau, pada September tahun ini. 

Sehubungan itu, Uggah, memberitahu peruntukan segera berjumlah RM651,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah segera bagi menangani masalah pembakaran terbuka di sini. 

Beliau juga mahukan aktiviti penguatkuasaan pembakaran terbuka dipertingkatkan dengan meningkatkan rondaan di kawasan yang mungkin menjadi titik panas pembakaran terbuka.

Taklimat hari ini diberikan oleh pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6, Law Poh Kiong dalam taklimatnya memberitahu kes (pembakaran terbuka) di Kuala Baram ditutup pukul 2 petang pada Jumaat lalu. 

Katanya, pasukan bomba menganggarkan 1,353 ekar kawasan belukar dan hutan tanah gambut serta ladang di Kuala Baram sudah terbakar. 

  • oleh
  • Advertisement