Anda di sini

Lahir lebih ramai cendekiawan di Pantai Damai - Dr Abdul Rahman

Advertisement
Dr Abdul Rahman dan isterinya, Datin Siti Shorgayah Zaiden bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan DUN N.4 Pantai Damai di Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Dr Abdul Rahman dan isterinya, Datin Siti Shorgayah Zaiden bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan DUN N.4 Pantai Damai di Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi


KUCHING: Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berazam melahirkan lebih ramai anak muda yang cerdik pandai dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Bagi tujuan itu, kata beliau, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti bidang pendidikan di konstituensi itu.

Menurut Dr Abdul Rahman, ia bukan perkara mustahil kerana sudah terbukti ada kawasan di dalam negara ini yang mampu melahirkan ramai golongan profesional dan cendekiawan.

"Hasrat kita bukan sahaja mahu menjadikan Pantai Damai membangun dari segi fizikalnya tetapi kita mahu menjadi 'kilang' yang melahirkan anak-anak muda yang bijak pandai pada hari ini dan masa hadapan.

"Insya-Allah dalam tempoh 10 tahun akan datang, kalau kita nak cari jurutera, peguam, pakar-pakar teknokrat dan ahli-ahli profesional, ramai datang dari kawasan Pantai Damai," katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan DUN N.4 Pantai Damai di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama dan komitmen semua pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat untuk memastikan impian ini dapat dicapai.

"Dan pada masa sama, saya yakin usaha ini dapat mempertingkatkan perjuangan kita dalam memperkasakan pendididkan di DUN Pantai Damai," katanya.

Mengenai anugerah itu, Dr Abdul Rahman melahirkan rasa gembira kerana anugerah kecemerlangan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2001 itu telah menunjukkan kemajuan dari segi keputusan peperiksaan pelajar 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, meskipun syarat menerima anugerah semakin meningkat namun bilangan penerima tidak berkurangan malah semakin meningkat saban tahun.

"Kepada anak-anak yang telah berjaya atau menerima anugerah ini, saya nasihatkan supaya teruskan usaha anda untuk terus menimpa kejayaan diperoleh," katanya sambil berharap anugerah yang diberikan ini akan menjadi  galakan kepada pelajar lain untuk mencapi kejayaan dan kecemerlangan yang sama.

Pada majlis itu, seramai 142 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta graduan ijazah sarjana dan sarjana tahun 2018 menerima anugerah tersebut.

Majlis turut menyaksikan sebanyak 18 sekolah dalam DUN Pantai Damai menerima dana khas RM5,000 setiap satu yang  diwakili oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing. 

  • oleh
  • Advertisement