Anda di sini

Kes kejam ‘House of Horrors, suami isteri dipenjara

Advertisement
 Louise (kiri) dan David (dua kanan) bercakap dengan peguam bela mereka ketika penjatuhan hukuman di mahkamah di Riverside, California kelmarin. — Gambar AFP
MELAMPAU: Louise (kiri) dan David (dua kanan) bercakap dengan peguam bela mereka ketika penjatuhan hukuman di mahkamah di Riverside, California kelmarin. — Gambar AFP

RIVERSIDE: Sepasang suami isteri dari California telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kelmarin selepas mengakui mengurung dan menyeksa 12 daripada 13 anak mereka dalam kes kejam ‘House of Horrors’ yang mengejutkan dunia.

David Allen Turpin, 57, dan isterinya Louise Anna Turpin, 50, telah mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan feloni termasuk kekejaman, pengurungan secara salah, penderaan kanak-kanak dan menyeksa anak-anak mereka yang berusia antara tiga hingga 30 tahun, dan akan menjalani tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun sebelum layak untuk parol.

Dalam perbicaraan yang penuh emosi, beberapa kanak-kanak terbabit mengaku masih menyayangi ibu bapa mereka yang tinggal di bandar Perris, 70 batu di tenggara Los Angeles.

“Saya tidak berniat bagi sebarang bahaya menimpa anak-anak saya.

“Saya meminta maaf sekiranya saya telah melakukan sesuatu yang mencetuskan bahaya kepada mereka,” David memberitahu mahkamah di bandar berhampiran Riverside, melalui kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya.

Kes tersebut terbongkar pada tahun lepas ketika seorang anak mereka yang berusia 17 tahun, melepaskan diri melalui tingkap di kediaman pasangan itu dan menghubungi pihak perkhidmatan kecemasan.

Kedua-dua pasangan Turpin menahan tangisan sepanjang perbicaraan, dengan Louise dilihat menggeletar ketika dua anaknya muncul di mahkamah.

“Ibu bapa saya telah merampas seluruh hidup saya, namun sekarang saya akan mengambil hidup saya semula,” salah seorang anak perempuan pasangan itu berkata, sementara seorang anak lelaki menyatakan beliau masih menyayangi ibu bapanya dan telah memaafkan mereka.

Menurut kepada sebahagian panggilan kecemasan awal yang dikeluarkan semasa prosiding mahkamah, budak perempuan yang melepaskan diri telah memberikan pihak polis dua adiknya dirantai di atas katil dengan begitu ketat sehingga kulit mereka lebam.

Mangsa berusaha untuk memberitahu operator tersebut alamat rumahnya, menyatakan: “Saya tidak pernah keluar. Saya jarang keluar.”

Beliau memberitahu, anggota polis yang memberikan respons bahawa rumah itu sangat kotor sehingga beliau tidak dapat bernafas, malah beliau dan adik-beradiknya tidak pernah mandi.

“Mereka merantai kami sekiranya kami melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Kadangkala, adik-beradik perempuan saya bangun dan mula menangis (kerana kesakitan),” kata beliau lagi.

Seorang anggota polis yang menyoal siasat remaja itu selepas dia terlepas menyatakan mangsa kelihatan kurus kering sehinggakan beliau mulanya menyangkakan mangsa sebagai seorang kanak-kanak kecil.

Beliau menyatakan gadis itu menceritakan bagaimana mereka dipaksa tidur selama 20 jam sehari dan pada tengah malam memakan hidangan gabungan untuk makan tengah hari dan makan malam yang kebanyakan berupa sandwic mentega kacang, keropok dan makanan yang dipanaskan dengan ketuhar mikro.

Salah seorang anak yang lebih tua turut memberitahu penyiasat bahawa pasangan itu akan mengurungnya dan anak-beradik di dalam kandang sebagai hukuman dan memukul mereka dengan pengayuh.

Sejak diselamatkan, anak-anak tersebut berada di bawah penjagaan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan dewasa.

Pasangan Turpin berpindah dari Texas ke California pada 2010.

Pihak penyiasat telah menyatakan masih belum jelas apa yang mendesak kepada penderaan tersebut.

Turpin mengakui kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sebelum hukuman diumumkan, sementara isterinya membacakan sendiri kenyataannya yang memohon maaf kepada anak-anaknya dan menambah: “Saya hanya ingin yang terbaik buat mereka. Kebahagiaan mereka sangat penting bagi saya.”

Hakim Mahkamah Tinggi Bernard Schwartz memberitahu pasangan Turpin bahawa kehidupan anak-anak mereka telah berubah sepenuhnya ekoran tindakan mereka yang mementingkan diri, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

David, jurutera angkasa lepas, mendaftar sebagai pengetua bagi program pembelajaran di rumah yang dinyatakan melalui Jabatan Pendidikan California.

Namun pihak pendakwa raya menyatakan pertubuhan itu sebagai satu penipuan dan menuduh David berbohong dalam borang yang difailkan dengan pihak negeri.

Timbalan Syerif Manuel Campos memberikan keterangan dalam perbicaraan awal mengenai soal siasat beliau dengan anak yang melepaskan diri, menceritakan semula bagaimana rambut dan kulit budak perempuan itu berselaput dengan kotoran.

Beliau menyatakan budak perempuan itu mengaku dalam ketakutan ketika melepaskan diri namun berasa terdesak untuk keluar dan melompat dari cermin tingkap yang terbuka.

Campos menyatakan remaja itu telah merancang tindakan melarikan diri sejak dua tahun lepas dan mampu mendapatkan telefon bimbit yang dibuang abangnya.

Beliau menggunakannya untuk menangkap gambar adik-adik perempuannya yang masih kecil, kesemua mereka mengalami kekurangan nutrisi yang teruk, yang diikat di atas katil.

Satu-satunya senaman bagi budak perempuan itu adalah bergerak mundar-mandir di dalam bilik yang dikongsinya bersama dua adik perempuannya, menurut anggota polis.

Peguam Daerah Mike Hestrin menyatakan mangsa-mangsa dibenarkan mandi hanya sekali setahun. — AFP

Advertisement