Anda di sini

Jadikan kemenangan di Eropah pemangkin di EPL

Advertisement
MAITLAND-NILES
MAITLAND-NILES

LONDON: Ainsley Maitland-Niles percaya kemaraan Arsenal ke peringkat separuh akhir Liga Europa dapat membantu mereka dalam usaha untuk menamatkan musim dalam kelompok empat kelab teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka menentang Crystal Palace pada malam ini (Ahad).  

Pasukan Unai Emery mara ke peringkat separuh akhir pada Khamis apabila gol Alexandre Lacazette menjamin kemenangan 1-0 di Napoli untuk mencatatkan kejayaan agregat 3-0.

Arsenal menentang Valencia pada peringkat separuh akhir, di mana Emery mahu memenangi kejuaraan Liga Europa keempatnya dan menjamin kelayakan ke Liga Juara-Juara dalam proses tersebut.

Itu pasti kesimpulan yang memberangsangkan bagi musim pertama Emery bersama Arsenal, tetapi jika mereka gagal dalam Liga Europa, pasukan ‘The Gunners’ masih ada satu lagi laluan ke Liga Juara-Juara dengan menamatkan musim EPL dalam kelompok empat teratas.

Arsenal, yang kini menduduki tempat keempat di atas Chelsea berdasarkan kelebihan gol, tidak ada margin kesilapan dalam liga, tetapi pemain pertahanan Maitland-Niles berkata pasukannya sudah matang disebabkan oleh pengalaman mereka di Eropah dan kini lebih pandai memenangi perlawanan.  

“Ia adalah liga yang sukar di England. Kami mempelajari pelbagai kaedah di Eropah kerana kadang-kadang kami perlu lebih seperti pasukan asing dan hanya berusaha gigih untuk mencatatkan kemenangan. Ia berjalan lancar buat masa sekarang,” katanya.

“Saya rasa kami bermain dengan sangat serasi sekali. Pengurus bekerja dengan empat, lima pemain pertahanan, jadi semua kami tahu dari segi posisi apa yang perlu dibuat, tidak menjatuhkan diri dalam kotak penalti.

“Kami menggunakan segala keupayaan (ketika menentang Napoli). Kita dapat menjaringkan sebanyak mungkin gol yang kita mahukan tetapi jika kita tidak bertahan dengan baik, maka perlawanan boleh dimenangi mana-mana pasukan.”

Sejak Hector Bellerin mengalami kecederaan lutut yang serius, Maitland-Niles telah menjadi pilihan pertama Emery di sebelah kanan, sama ada sebagai pemain pertahanan kanan yang ortodoks ataupun pada posisi sayap belakang seperti di Naples dahulu.

Maitland-Niles, pemain antarabangsa Bawah 21 England, memuji cara Emery memupuk bakatnya setakat ini dan juga berusaha untuk memperbaiki skuad pada keseluruhan. — AFP

Advertisement