Anda di sini

Harapan Leeds United untuk bermain dalam EPL berkecai

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Kejohanan di antara Leeds United dan Wigan di Elland Road di Leeds, Britain. — Gambar AFP
MENCARI SASARAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Kejohanan di antara Leeds United dan Wigan di Elland Road di Leeds, Britain. — Gambar AFP

LONDON: Harapan Marcelo Bielsa untuk membawa balik Leeds United ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 15 tahun menerusi kenaikan automatik mengalami tamparan hebat pada Jumaat apabila Wigan yang bermain dengan 10 anggota menewaskan mereka 2-1.

Dua jaringan Gavin Massey – satu gol dalam setiap babak – menyaksikan kelab divisyen kedua yang bermasalah itu bangkit selepas ketinggalan untuk memukau penonton tuan rumah seramai 30,000 lebih dan meninggalkan Leeds di tempat ketiga di belakang Sheffield United berdasarkan perbezaan gol dengan baki tiga perlawanan lagi.

Sheffield United terdahulu kembali ke tempat kedua selepas mereka menang 2-0 ke atas Nottingham Forest yang bermain dengan 10 orang.

Leeds kelihatan seperti bakal mengutip tiga mata apabila Cedric Kipre dari kelab Wigan dilayangkan kad merah kerana memegang bola di atas garisan gol.

Walaupun tendangan penalti Pablo Hernandez diselamatkan, pasukan tuan rumah mendahului 1-0 sejurus kemudian apabila Patrick Bamford menyumbat gol.

Bagaimanapun, Massey menyamakan kedudukan untuk Wigan seminit sebelum waktu rehat dengan satu rembatan cantik dan menambah gol kedua dengan tandukan sejurus selepas minit ke-60.

Dua jaringan Massey memberikan kelebihan lima mata ke atas Wigan ke atas kelab ketiga tercorot Rotherham – yang kalah 4-3 kepada Swansea.

Gol-gol pada separuh masa kedua dari Mark Duffy dan Enda Stevens memberikan kemenangan penting kepada Sheffield – selepas Yohan Benalouane dilayangkan kad merah dua minit selepas babak kedua bermula – untuk menamatkan siri dua keputusan seri.

Kemenangan pasukan ‘The Blades’ memusnahkan harapan pendahulu liga Norwich City untuk meraikan kepulangan ke EPL lewat Jumaat – pasukan ‘The Canaries’ dapat naik ke liga utama jika United tewas dan mereka menewaskan Sheffield Wednesday.

“Mereka (Forest) merupakan sebuah pasukan yang bagus dengan seorang pengurus berpenglaman, jadi ia adalah bagus untuk berada di hadapan, memenangi perlawanan dan kembali kepada apa yang kami buat,” kata pengurus United Chris Wilder kepada Sky Sports.

“Ia merupakan usaha yang hebat oleh semua orang dan kita belum siap lagi. Ia adalah minggu yang sukar tetapi kami telah bangkit semula,” tambah pengurus Inggeris berusia 51 tahun itu, yang dipilih sebagai pengurus terbaik Liga Kejuaraan oleh pengurus lain.

United kelihatan sedikit tumpul di depan gol pada babak pertama yang tiada jaringan selepas penjaring terbanyak mereka Billy Sharp tidak bermain disebabkan oleh kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, apabila Benalouane dibuang dari padang untuk mandi awal selepas dia menjatuhkan David McGoldrick, keraguan tidak ada mengenai keputusan.

Cubaan cantik Duffy menewaskan penjaga gol Forest, Costel Pantilimon, untuk meletakkan mereka 1-0 di hadapan, tetapi pemain antarabangsa Romania itu menyelamatkan pasukannya daripada ketinggalan lebih jauh lagi seminit kemudian apabila refleks cantiknya menafikan McGoldrick.

Bagaimanapun, dia tidak dapat berbuat apa-apa lima minit sebelum sepenuh masa apabila Stevens menyumbat bola ke sudut jauh untuk gol pertamanya di stadium sendiri dalam tempoh lebih setahun.

Pada bahagian bawah liga, musim buruk Bolton – yang dibebani masalah kewangan – menyaksikan mereka menyertai Ipswich dalam divisyen ketiga selepas mereka tewas 2-0 kepada Aston Villa.

Jaringan oleh Jack Grealish dan Tammy Abraham menentukan nasib mereka dan memastikan Villa mencatatkan kemenangan kesembilan berturut-turut untuk mengintai peringkat ‘play-off’ dengan keyakinan yang tinggi. — AFP

Advertisement