Anda di sini

Gula pasir lebih satu tan cuba diseludup dirampas

Advertisement
APMM Tawau menahan seorang juragan berusia 18 tahun kerana disyaki cuba menyeludup keluar lebih satu tan gula pasir bersubsidi ke negara jiran.
APMM Tawau menahan seorang juragan berusia 18 tahun kerana disyaki cuba menyeludup keluar lebih satu tan gula pasir bersubsidi ke negara jiran.

TAWAU: Seorang juragan ditangkap kerana disyaki cuba menyeludup gula bersubsidi lebih satu tan ke negara jiran melalui Pulau Sebatik di sini kira-kira jam 5.15 petang pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau Komander (M) Mohd Yusri Hussin berkata, suspek ditahan berumur 18 tahun.

“Pergerakan suspek yang mencurigakan dikesan dalam Operasi Pluto Timur oleh APMM Tawau dan kita turut menahan bot jongkong yang dinaikinya,” katanya di sini.

Yusri berkata, keseluruhan rampasan gula pasir terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM50, 000 termasuk jongkong, dan dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan bot berkenaan dilakukan di kawasan kira-kira 1.5 batu nautika dari Sg Pukul, Sebatik yang membawa kepada penemuan gula pasir dalam jumlah besar.

“Pemeriksaan mendapati juragan gagal mengemukakan dokumen kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

LEBIH satu tan gula pasir bersubsidi dirampas dalam Operasi Pluto Timur.
LEBIH satu tan gula pasir bersubsidi dirampas dalam Operasi Pluto Timur.

Beliau berkata penahanan terhadap suspek yang juga seorang remaja lelaki tempatan dilakukan kerana dipercayai melanggar peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengulas lanjut, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dalam usaha membanteras dan mengurangkan aktiviti maritim yang melanggar undang-undang.

“Kita harap orang ramai sentiasa memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi APMM Tawau di 089750116 atau MERS999,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement