Anda di sini

Guardiola sasar meraih empat kejuaraan pada musim depan

Advertisement

MANCHESTER: Pep Guardiola akan menyasari empat kejuaraan pada musim akan datang bersama Manchester City walaupun mengalami kekecewaan pada minggu ini apabila mereka disingkirkan oleh Tottenham dalam Liga Juara-Juara.

Pengurus Spurs Mauricio Pochettino dan pengurus Liverpool Jurgen Klopp – pencabar terdekat Guardiola bagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) – telah mara ke peringkat separuh akhir pertandingan kelab utama di Eropah.

Namun, tidak seperti Guardiola, kedua-dua pengurus itu kurang memberikan penekanan kepada pertandingan piala domestik, malah menurunkan pasukan yang lemah pada peringkat awal Piala Liga dan Piala FA.

Sebaliknya Guardiola sentiasa menurunkan pasukan dengan kekuatan sepenuhnya atau hampir sepenuhnya, yang mendedahkannya kepada tuduhan bahawa keletihan telah menghambat pasukannya pada peringkat akhir musim.

Walau bagaimanapun, pengurus City itu, yang memenangi Piala Liga ketika menentang Chelsea dan berdepan dengan perlawanan akhir Piala FA menentang Watford pada bulan akan datang, bertegas menyatakan dia tidak pernah dengan sengaja cuba menyingkirkan diri daripada mana-mana pertandingan.

“Saya tidak faham dalam profesion saya, bukannya saya hendak menyatakan saya tidak mahu menang, saya tidak memahami perkara itu,” kata Guardiola.

“Jika saya kalah, ia adalah kerana pasukan lawan menewaskan saya atau menewaskan kami. Saya tidak akan melepaskan mana-mana pertandingan kerana mungkin pada masa depan, ia akan lebih bagus.”

Dia menambah: “Siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan? Masa sekarang adalah perlawanan sekarang dan saya akan berusaha. Saya akan menaruh impian pada musim akan datang untuk bertarung bagi empat kejuaraan, itu adalah impian saya.”

Walaupun mengalami kekalahan agregat yang traumatik kepada Spurs berdasarkan jaringan di tempat lawan, City masih memerlukan hanya enam kemenangan sahaja – lima dalam liga dan kemenangan dalam perlawanan akhir Piala FA – untuk menjadi pasukan Inggeris pertama dalam sejarah untuk memenangi tiga kejuaraan domestik.

Daripada melupai kekecewaan pada pertengahan minggu, pengurus City itu berharap memori kekalahan yang menyakitkan itu akan memberi inspirasi kepada pasukannya, tetapi pengurus Catalan itu menerima hakikat bahawa dia tidak pasti tentang reaksi pasukannya yang dibarisi pemain bintang.

“Saya tidak tahu,” katanya. “Sebelum perlawanan, kita tidak tahu bagaimana kita akan bermain, kita tidak tahu bagaimana kita akan bertindak balas, kami tidak bermain dengan baik pada masa lain, dan kami bertindak balas dengan baik.

“Kita tidak akan mendapat kesempurnaan, tidak pernah, tetapi kita perlu berusaha untuk mencapainya. Kesempurnaan adalah 4-0, dan ia adalah 4-3, atau 7-0,” jelas Guardiola.” — AFP

Advertisement