Anda di sini

Baru, See dipelawa sertai debat pindaan Perlembagaan

Advertisement
 


KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian dan Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How dipelawa untuk menyertai perdebatan bertajuk "Menolak Pindaan Perlembagaan pada 9 April adalah Pengkhianatan untuk Warga Sarawak".

Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Lina Soo (gambar) berkata sesi perdebatan itu akan disertai oleh beliau sendiri dan Ketua Penerangan dan Publisiti Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Peter John Jaban.

"Perdebatan adalah tanda demokrasi yang berkembang maju dan kematangan politik. Memandangkan Baru menyeru kepada rakyat Sarawak untuk menilai sendiri, biarkan perdebatan itu akan membolehkan rakyat menilai siapa pengkhianat sebenar Sarawak.

"Jika kedua-dua YB (wakil rakyat) PKR menolak untuk mempertahankan pendirian mereka, maka mereka harus memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana menyokong pindaan perlembagaan yang akan mengunci kedudukan Sarawak sebagai Negeri Persekutuan, tidak lebih tidak kurang, setara dengan Negeri Kedah atau Negeri Perlis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soo berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau menyifatkan tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada malam 9 April sebagai satu bentuk pengkhianatan atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sarawak.

"Bukankah ia kedengaran seolah-olah ahli politik Sarawak yang mengejar kepentingan peribadi mereka melebihi kepentingan rakyatnya sendiri. Itu adalah pengkhianatan yang lebih besar," ujarnya Soo.

Lina berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Baru yang mendakwa perkara itu tidak perlu dibawa ke persidangan DUN Sarawak.

Sikap Baru tambahnya, menunjukkan tanda tidak hormat beliau terhadap pengundinya di Sarawak yang melayakkan dirinya menjawat jawatan di Parlimen dan Kabinet negara bagi menjaga kepentingan rakyat.

Sebaliknya ahli politik ini katanya, mengabaikan hak mereka untuk memperoleh maklumat dan kandungan perjanjian penuh yang penting bagi Sarawak.

"Tidak ada perkara yang lebih membimbangkan bagi Sarawak melainkan isu berkaitan perlembagaan yang menjejaskan integriti wilayah dan martabat rakyatnya.

"Isi kandungan perjanjian mesti dibincangkan dengan rakyat menerusi penggubal undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Mereka yang mewakili rakyat mesti terlibat sama dalam proses membuat keputusan dan tidak menghiraukan perkara tersebut adalah satu penghinaan kepada rakyatnya," ujarnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement