Anda di sini

Arab Saudi dan Ethiopia pasaran berpotensi bagi minyak sawit

Advertisement
 Teresa Kok (dua kanan) mendengar penerangan dari wakil peserta dari Ghana Neematu Ziblim Adam (kanan) tentang penggunaan minyak sawit dalam masakan ketika mengadakan lawatan ke gerai masakan pada Program Pertandingan Memasak Menggunakan Minyak Sawit Bersempena Kempen Sayangi Sawitku, semalam. — Gambar Bernama
DENGAR MAKLUM BALAS: Teresa Kok (dua kanan) mendengar penerangan dari wakil peserta dari Ghana Neematu Ziblim Adam (kanan) tentang penggunaan minyak sawit dalam masakan ketika mengadakan lawatan ke gerai masakan pada Program Pertandingan Memasak Menggunakan Minyak Sawit Bersempena Kempen Sayangi Sawitku, semalam. — Gambar Bernama

JEMPOL: Arab Saudi dan Ethiopia dilihat sebagai pasaran baharu yang berpotensi untuk eksport  minyak sawit Malaysia, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata usaha mempromosi minyak sawit Malaysia di kedua-dua negara terbabit akan bermula apabila timbalannya, Datuk Seri Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan di negara berkenaan pada minggu hadapan.

“Dua negara itu adalah antara sasaran awal kerajaan dalam usaha meneroka pasaran baharu sebagai langkah jangka panjang memasarkan komoditi negara itu.

“Minggu depan, timbalan menteri akan menghadiri seminar minyak sawit di Arab Saudi sebelum melawat Ethiopia. Semua ini adalah pasaran baharu dan beliau juga akan berusaha mempromosi minyak sawit negara ke kedua-dua negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertandingan Memasak dengan minyak kelapa sawit (LMPOCC) bersempena kempen Sayangi Minyak Sawitku Malaysia 2019, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Pengerusi Havys Oil Mill Sdn Bhd, Datuk Lim Kin Eng.

Mengulas lanjut, Kok berkata usaha mempergiatkan promosi minyak sawit negara juga akan dibantu oleh kementerian lain apabila menerima undangan lawatan rasmi di luar negara.

“Menteri Pertahanan  Mohamad Sabu sebelum ini memberitahu bahawa beliau juga akan membantu menarik minat Russia dan Iran untuk membeli minyak sawit negara apabila menghadiri mesyuarat berkaitan pertahanan di kedua-dua negara berkenaan.

“Ini juga adalah pasaran baharu untuk Malaysia, dan saya yakin ia akan menyumbang kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke negara luar,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China, Kok berkata langkah itu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport komoditi tempatan.

“Pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan kementerian saya juga akan mengadakan pelbagai program dan pelaburan supaya boleh tarik lebih banyak syarikat dari China untuk datang melabur di Malaysia serta membeli minyak sawit negara ke pasaran mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement