Anda di sini

Anugerah MeleTOP Era 2019 ‘live’ di Astro Ria malam ini

Advertisement
 Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse sebagai pengacara utama AME 2019 malam.  — Gambar Astro
HOS: Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse sebagai pengacara utama AME 2019 malam. — Gambar Astro

ANUGERAH MeleTOP Era 2019 (AME 2019) yang mengetengahkan tema ‘Glam’ penuh gemerlapan dengan tagline ‘Yang Legit, Yang Legend’ akan mencapai kemuncaknya pada malam ini.

Acara anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 16 buah kategori pencalonan yang dipertandingkan akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 9.00 malam ini (21 April 2019), secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Sebagai bonus, acara ini turut boleh diakses menerusi program ‘Live Streaming AME 2019’ yang disiarkan menerusi platfrom digital di saluran YouTube MeleTOP, Astro Go, NJOI Now dan On Demand bermula jam 8.30 malam untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Bagi edisi baharu ini, selebriti popular yang juga merupakan pasangan hos sensasi program ‘MeleTOP’ iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam AME 2019. Namun begitu, mereka masih kekal sebagai pengacara pentas AME 2019 bersama Jihan Muse.

AME 2019 menyaksikan persaingan sengit di antara aktor Remy Ishak dan Syafiq Kyle yang tercalon untuk tiga kategori individu yang sama iaitu ‘Fesyen MeleTOP’, ‘Bintang Filem MeleTOP’ dan ‘Pelakon TV MeleTOP’.

Dua naskhah lakonan Remy Ishak iaitu ‘Pulang’ dan ‘Lelaki Kiriman Tuhan’ turut tercalon menerusi kategori ‘Filem MeleTOP’ dan ‘Drama MeleTOP’.

Drama lakonan Syafiq Kyle berjudul ‘Tak Ada Cinta Sepertimu’ turut tercalon menerusi kategori ‘Drama MeleTOP’.

Fattah Amin pula tercalon menerusi kategori ‘Bintang Filem MeleTOP’, ‘Pelakon TV MeleTOP’ dan ‘Fesyen MeleTOP’ serta pencalonan bersama dengan selebriti jelita yang juga isteri beliau iaitu Nur Fazura menerusi kategori ‘Couple MeleTOP’.

Drama lakonan Fattah Amin berjudul ‘Dia Anak Jeneral’ turut tercalon dalam kategori ‘Drama MeleTOP’.

Zizan Razak turut cemerlang menerusi tiga buah kategori iaitu ‘Hos MeleTOP’, ‘Bintang Filem MeleTOP’ dan ‘Artis Lawak MeleTOP’.

Sementara itu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rusly turut tercalon untuk dua kategori yang sama iaitu ‘Penyanyi MeleTOP’ dan ‘Lagu MeleTOP’ masing-masing dengan lagu hits mereka, ‘Anta Permana’, ‘Di Matamu’ dan ‘Jatuh Bangun’.

Kolaborasi mantap komposer dan penyanyi popular, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah turut diangkat menerusi dua kategori iaitu ‘Lagu MeleTOP’ dan ‘Group/Duo MeleTOP’ menerusi lagu ‘Haram’.

Jihan Muse tidak kurang hebat dengan pencalonan untuk dua kategori iaitu ‘Artis Lawak MeleTOP’ dan ‘Hos MeleTOP’ serta pencalonan bersama dengan suaminya, Ungku Hariz menerusi kategori ‘Couple MeleTOP’.

Undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori menerusi laman web AME 2019 dan portal ERA serta melalui kiriman SMS akan berakhir pada hari ini (21 April 2019), jam 12.00 tengahari.

Pemenang untuk setiap kategori akan diumumkan sewaktu siaran langsung malam ini.

Antara selebriti popular yang menepati kriteria tagline ‘Yang Legit, Yang Legend’ yang akan membuat persembahan eksklusif di pentas AME 2019 termasuklah Ayda Jebat, Misha Omar, Siti Nordiana, Hael Husaini, Ismail Izzani, Andi Bernadee, Floor 88, Pop Shuvit, Exists dan Akim & The Majistret.

Manakala antara nama-nama popular yang bakal tampil selaku barisan penyampai anugerah termasuklah Mira Filzah, Zahirah Macwilson, Remy Ishak, Janna Nick, Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Amar Baharin, Datuk Chef Wan serta ramai lagi.

Advertisement