Anda di sini

RM60 ribu lesap, kahwinnya bila?

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

SIBU: Terpikat dengan kecantikan seorang wanita menerusi gambar dipaparkan di Facebook yang mengajaknya berkahwin, seorang anggota tentera tidak lagi berfikir panjang apabila rela memenuhi tuntutan agar menyerahkan RM60,000 menerusi pindahan bank bagi membiayai majlis perkahwinan mereka. 

Mereka berdua tidak pernah bersua, cuma berkenalan menerusi Facebook dan berborak menerusi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata kejadian ini berlaku selepas mangsa berkenalan dengan seorang gadis yang hanya dikenali sebagai Aishah di Facebook sejak November 2016.

Mangsa yang berumur 28 tahun juga berhubung dengan suspek melalui WhatsApp diajak berkahwin dan diminta untuk membuat pembayaran hantaran majlis perkahwinan.

"Kerana tertarik dengan gambar-gambar yang menawan digunakan oleh suspek, pengadu bersetuju berkahwin dan membuat pembayaran hantaran ke akaun bank suspek berjumlah RM30,000 secara pindahan dalam talian pada Disember 2016," katanya.

Menurut Stanley, pengadu juga diminta membuat beberapa transaksi pindahan secara online ke akaun yang sama berjumlah RM30,000 pada Jun 2017 untuk penambahan wang hantaran kepada suspek.

Katanya, sehingga ke hari ini suspek gagal dihubungi setelah pengadu membuat pembayaran sehingga RM60,000.

"Pengadu hanya membuat laporan polis hari ini selepas terasa ditipu apabila perkahwinan yang dijanjikan tidak diperolehi," katanya.

Stanley berkata, suspek telah memperdayakan pengadu untuk memindahkan wang ke akaun suspek bagi tujuan perkahwinan yang tidak wujud.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement