Anda di sini

Pusat sambut baik langkah DUN Sabah

Advertisement
LIEW (lima, kanan) ketika merasmikan Majlis Anugerah Iltizam SMK Elopura 2.
LIEW (lima, kanan) ketika merasmikan Majlis Anugerah Iltizam SMK Elopura 2.

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong menyambut baik langkah proaktif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerusi persidangan baru-baru ini yang menyokong usul tergempar agar pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibawa ke Parlimen semula dengan secepat mungkin.

Menurutnya, ia merupakan satu perkembangan positif yang mana dapat dilihat langkah berkenaan begitu baik untuk menerima Sabah dan Sarawak dikembalikan sebagai rakan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Secara keseluruhannya, saya amat gembira dapat melihat satu tindakan yang positif daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat amat menghargai tindakan ini.

"Pada masa yang sama, saya juga ingin rakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak yang telah dapatkan persefahaman dalam perkara ini.

"Walaupun DUN Sarawak belum bersidang dan belum ambil tindakan berhubung perkara ini, tetapi saya yakin mereka akan ambil langkah yang sama seperti Kerajaan Negeri Sabah," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Iltizam SMK Elopura 2 di Sandakan.

Mengulas lanjut, beliau menekankan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk melaksanakan MA63 yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dihadiri bersama Ketua Menteri Sabah dan Sarawak akan terus berjalan dengan lebih aktif untuk memastikan MA63 dapat diteruskan.

"Walaupun Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu tidak disokong penuh dari pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi saya akan ambil masa untuk bersua muka dengan Ketua Menteri Sarawak dalam masa terdekat untuk kemukakan agenda dalam perkara ini supaya mereka lebih faham tujuannya.

"Saya juga akan ambil langkah proaktif untuk berjumpa pemimpin GPS untuk tujuan yang sama. Namun apa yang penting, mesyuarat di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk melaksanakan MA63 ini masih berjalan dengan lancar," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement