Anda di sini

Pelajar harus aktif kokurikulum yang sama penting dengan akademik: Ali

Advertisement
 Ali (tengah) merakamkan kenangan bersama anggota Rumah Sukan yang memenangi salah satu acara pada kejohanan tersebut.
UNTUK ALBUM: Ali (tengah) merakamkan kenangan bersama anggota Rumah Sukan yang memenangi salah satu acara pada kejohanan tersebut.

SRI AMAN: Golongan pelajar harus aktif dalam aktiviti kokurikulum yang sama penting dengan akademik, kata Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.

Beliau berkata, kecemerlangan dalam pelajaran sememangnya matlamat utama pelajar, namun mereka juga perlu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

“Pelajaran adalah penentu masa depan pelajar, namun pada masa sama, mereka harus bergiat dalam aktiviti kokurikulum seperti menyertai kegiatan sukan dan persatuan.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya, sebaliknya pelajar perlu berusaha gigih dan secara berterusan dalam kedua-dua bidang terbabit untuk merealisasikan impian diri, keluarga dan sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan, Antara Rumah-Rumah Sukan, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman, Saratok di Padang Majlis Daerah Saratok (MDS) di sini, baru-baru ini.

Ali berkata, matlamat kerajaan adalah jelas iaitu melahirkan modal insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Setiap sekolah pastinya ingin melahirkan pelajar berilmu pengetahuan, terampil, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan mampu mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan bermakna kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat,” katanya.

Justeru katanya, kejayaan sehingga ke menara gading tidak memadai dengan kecemerlangan dalam akademik semata-mata kerana pencapaian dalam kokurikulum juga akan diambil kira.

“Bukan mudah untuk pelajar mencipta kejayaan dalam kedua-dua bidang itu. Namun, ia tidak mustahil berbekalkan sifat tidak mudah berputus asa dan berusaha gigih,” tegasnya.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Anis Madeli dan Guru Besar SK Abang Abdul Rahman Razenah Sepawi.

Advertisement