LAHAD DATU: Pasar ayam hidup Lahad Datu akan dibina semula di tapak yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat menjelang musim perayaan akan datang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pasar tersebut yang dibina diera pentadbirannya sebagai wakil rakyat pada 1986 sudah begitu uzur dan ianya perlukan perhatian segera.
"Masa kempen pilihanraya saya berjanji kepada mereka (peniaga dan rakyat di sini) untuk membina pasar ayam yang baharu.
"Jadi hari ini saya membuat lawatan untuk melihat tapak dan keadaan di sini," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam dan Ketua Bahagian Silam Parti Warisan Sabah berkata demikian semasa lawatan beliau ke pasar ayam bersama Pegawai Daerah Dr Mohd Ayub Yaakob, di sini.
Mohamaddin sebelumnya diberi taklimat mengenai isu pasar ayam dari Mohd Ayub dan pemimpin yang lain.
Beliau berharap kebersihan di sekitar pasar itu diberi perhatian untuk manfaat bersama.
Untuk rekod, struktur premis pasar ayam hidup yang dibina atas air laut berhampiran pasar ikan dan pasar rakyat runtuh pada 3 Julai 2016.