Anda di sini

NYPD tangkap lelaki bawa gasolin ke dalam Katedral St Patrick

Advertisement
 Orang ramai berjalan melintasi Katedral St Patrick di Manhattan, New York pada Khamis. — Gambar Reuters
MENJADI TUMPUAN: Orang ramai berjalan melintasi Katedral St Patrick di Manhattan, New York pada Khamis. — Gambar Reuters

NEW YORK: Seorang lelaki ditangkap pada malam Rabu selepas memasuki Katedral St Patrick di New York sambil membawa dua tin gasolin, kata polis, hanya beberapa hari selepas kebakaran besar menyebabkan kerosakan teruk di Katedral Notre Dame di Paris.

Timbalan Pesuruhjaya di Jabatan Polis New York (NYPD) John Miller berkata lelaki yang ditangkap itu mendakwa dia menggunakan jalan pintas melalui katedral selepas keretanya kehabisan minyak, namun jawapannya “tidak konsisten dan bersifat mengelak”.

“Kami tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya, apakah motifnya,” Miller memberitahu satu sidang media di kawasan tangga katedral, sebuah bangunan neo-Gothik di tengah-tengah Manhattan.

Lelaki itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan katedral dan memberitahu dia tidak boleh masuk ke dalam membawa barang-barang tersebut, menurut polis.

“Pada peringkat itu, sedikit gasolin kelihatan tumpah ke atas lantai ketika dia berpusing balik,” menurut Miller.

Selepas amaran dikeluar-kan, beberapa anggota polis dari biro menangani keganasan di NYPD telah menemui lelaki itu dan menahannya selepas disoal siasat.

“Cerita asalnya adalah dia menggunakan jalan pintas melalui katedral... kerana keretanya kehabisan minyak,” menurut Miller.

“Kami telah memeriksa kenderaan itu. Ia tidak kehabisan minyak dan disebabkan itu dia ditahan.”

Miller berkata suspek berusia 37 tahun itu “dikenali oleh pihak polis,” dan menyatakan dia akan hadir di depan seorang hakim untuk didakwa atas tuduhan cuba membakar dengan sengaja, tindakan membahayakan dan menceroboh dengan sengaja.

Seorang penduduk New Jersey, lelaki itu mengajar falsafah di Lehman College di New York.

Menurut laporan media, dia didapati mempunyai sekeping tiket satu hala ke Rom yang dijadualkan pada Khamis.

Pembinaan pertama Kate-dral St Patrick bermula pada pertengahan 1880 dan selesai dibina pada 1878, walaupun binaan tambahannya telah ditambahkan beberapa tahun kemudian dan satu pemulihan besar telah selesai dilakukan pada 2015. — AFP

Advertisement