Anda di sini

Manfaat teknologi digital untuk menyampaikan dakwah

Advertisement
 Dr Abdul Rahman ditemani Shibli dan Aziz merakam kenangan bersama peserta Kolokium Dakwah dan Kepimpinan Islam sempena Ulang Tahun ke-50 BINA-HIKMAH semalam.
UNTUK ALBUM: Dr Abdul Rahman ditemani Shibli dan Aziz merakam kenangan bersama peserta Kolokium Dakwah dan Kepimpinan Islam sempena Ulang Tahun ke-50 BINA-HIKMAH semalam.

KUCHING: Pendekatan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam khasnya di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum harus ditransformasikan seiring dengan perkembangan arus teknologi digital masa kini.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ledakan teknologi yang berlaku sekarang boleh dijadikan sebagai medium untuk menceritakan tentang kebaikan Islam.

Malah, beliau memberitahu, masyarakat Islam di Sarawak tidak boleh bergantung kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk berdakwah, sebaliknya mereka juga berperanan dalam menyebarkan syiar Islam.

“Kita sekarang dikelilingi dengan kemodenan seperti Internet dan ia berubah setiap masa.

“Jadi, kita juga perlu bijak menggunakan teknologi ini untuk menyampaikan perkara yang baik berkenaan Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Kolokium Dakwah dan Kepimpinan Islam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 BINA-HIKMAH di sini, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, pendekatan dakwah di Sarawak berbeza kerana negeri ini mempunyai komposisi masyarakat yang berpegang teguh kepada sensitiviti agama.

“Penerimaan masyarakat lain terhadap umat Islam amat baik dan kita sentiasa dipandang tinggi kerana kita mengamalkan toleransi tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa NGO Islam di Sarawak supaya sentiasa mencari pendekatan terkini agar dakwah yang dilaksana sentiasa relevan dan bersesuaian untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Perhimpunan ilmu seperti kolokium antara langkah terbaik untuk memastikan pendekatan dakwah kita terus diterima,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kolokium Dakwah dan Kepimpinan Islam Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, saluran digital semenangnya amat diperlukan dalam menyampaikan dakwah pada masa kini ekoran kedudukan masyarakat di negeri ini.

Jelasnya, menerusi platform tersebut, maklumat berkaitan Islam dapat disebarluaskan dengan lebih cepat agar masyarakat majmuk di Sarawak memahami antara satu sama lain.

“Media sosial ini untuk kita berkongsi tentang kebenaran supaya kita dapat terus hidup bersatu dan mampu membangunkan diri kita.

“Sebab itu, ada pembentangan pada pagi tadi (semalam) berkaitan dakwah digital mengenai perkara yang baik yang kita boleh kongsikan dan cara bagaimana kita hendak teruskan hidup dalam keadaan bertoleransi yang tinggi kerana kita di Sarawak amat dikenali dengan tempat yang mana kita dapat hidup dalam keadaan harmoni meskipun berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu semalam, Yang Dipertua HIKMAH Tan Sri Abdul Aziz Hussain dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement