Anda di sini

KPDNHEP sedia pinda undang-undang

Advertisement
SAIFUDDIN (kanan) menerima cenderahati selepas melancarkan Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2019.
SAIFUDDIN (kanan) menerima cenderahati selepas melancarkan Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2019.

Bolehkan kawalselia bagi lindungi kepentingan pengguna lebih berkesan

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia melakukan pindaan undang-undang sekiranya perlu bagi membolehkan aspek kawalselia untuk melindungi kepentingan pengguna dengan lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KPDNHEP akan mengumpul aduan pengguna setiap hari dan kemudian menyerahkan laporan bulanan kepadanya 10 aduan yang teratas.

Katanya, daripada 10 aduan teratas, tiga aduan paling utama adalah melibatkan aduan harga barang (45 peratus), aduan penipuan dalam talian (20 peratus) dan aduan iklan yang mengelirukan (10 peratus).

"Tetapi yang cepat sekali meningkat sekarang ini adalah aduan penipuan dalam talian. Ini kerana trend perniagaan e-commerce semakin banyak ketika ini. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran dan penguatkuasaan, kami melihat memang banyak peningkatan bagi e-commerce.

"Dan ia diikuti dengan peningkatan penipuan dalam talian. Sebab itu kami di kementerian ambil langkah berjaga-jaga. Saya telah beri arahan khusus kepada Tribunal Tuntutan Pengguna yang menjadi platform pengguna agar kes aduan mereka diteliti dan setakat ini mereka berjaya urus dan selesaikan semua aduan.

"Maknanya dari sudut keperluan undang-undang, buat masa sekarang saya anggap sebagai memadai tetapi kami sedia untuk melakukan pindaan sekiranya perlu bagi membolehkan aspek kawalselia itu untuk melindungi kepentingan pengguna dapat kami jalankan dengan lebih berkesan," katanya kepada media selepas melancarkan Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2019 di Padang Bandaran Sandakan di sini.

Mengenai karnival itu, Saifuddin berkata pihaknya diberikan peruntukan sebanyak RM20 juta pada belanjawan lalu khusus untuk menjalankan kempen beli barangan buatan Malaysia.

Sehubungan itu, pihaknya komited melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk karnival berkenaan untuk memperhebat kempen itu sepanjang tahun ini di seluruh negara.

Terbaharu, KPDNHEP turut berkolaborasi dengan AiraAsia yang mana sebanyak 550 produk buatan Malaysia akan dipasarkan melalui platform dalam talian milik syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berpandangan usaha KPDNHEP dalam menganjurkan ekspo jualan seperti itu boleh dicontohi oleh semua pihak dalam memberikan lebih pilihan kepada masyarakat untuk berbelanja.

Katanya, penganjuran karnival jualan itu merupakan satu pendekatan yang terbaik dan berkesan bagi mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

Jelasnya, ekspo jualan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat yang menjadi antara fokus utama inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

"Dalam menjayakan usaha ini, semua pihak perlu berganding bahu untuk menjayakan kempen yang berorientasikan kepenggunaan seperti ini terutama dalam usaha mempertingkat pembelian barangan buatan Malaysia bagi membantu merangsang ekonomi domestik dan merancakkan ekonomi," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Frankie Poon.

Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2019 berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 April.

Antara pengisian sepanjang tiga hari program berlangsung termasuk pameran dan jualan oleh pempamer, demo produk, program kepenggunaan, bicara keusahawanan dan aktiviti riadah kekeluargaan.

  • oleh
  • Advertisement